Antara Nikmat Kubur Yang Dinyatakan Melalui Hadis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Alam kubur bermaksud alam ghaib yang tiada siapa dapat menceritakannya melainkan buat mereka yang pernah melaluinya sahaja. Maka, apakah benar wujudnya nikmat kubur?.

Ia adalah suatu bentuk kepercayaan dan rukun iman yang perlu dipercayai kerana alam akhirat adalah suatu alam yang dijanjikan Allah dan bakal dilalui oleh kita semua.

Salah satu cara untuk meneguhkan keimanan kita adalah dengan melihat tanda-tanda yang telah disampaikan melalui hadis dan kalamNya. Antara bentuk nikmat kubur yang telah diceritakan adalah:

1. Diperlihatkan Nikmat Syurga Kepadanya

Maksud: “Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga, maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka, maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya: “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 1379)

2. Kubur Yang Diterangi Cahaya

Maksud: “Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?”

Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusanNya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan utusanNya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian, diberi cahaya baginya di dalamnya.” Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.” (Hadis Riwayat Tirmizi, No. 1071)

3. Direhatkan Dari Kepayahan Dunia

Dari Ma’bad bin Ka’ab bin Malik dari Abu Qatadah bin Rabi’i bahawa ia menceritakan  pada suatu ketika, lalu satu jenazah di hadapan Rasulullah, maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Mustariih dan Mustaraah.”

Kemudian, para sahabat bertanya: “Apa yang dimaksudkan dengan mustariih dan mustaraah?”

Baginda menjawab: “Mustariih adalah seorang hamba yang beriman akan beristirehat dari kepayahan dunia. Mustaraah pula adalah berkenaan dengan seorang hamba yang fajir (berbuat kezaliman, derhaka kepada Allah). Justeru, seluruh negeri, hamba dan binatang boleh beristirehat dari sifat fajirnya (kezaliman).” (Hadis Riwayat Muslim, No. 950)

4. Para Malaikat Memberi Salam Kepada Mereka

Mafhum: “(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan.” (Surah An-Nahl, 16:32)

Tuntasnya, kita mestilah percaya kepada alam akhirat kerana ia merupakan salah satu rukun iman yang perlu diteguhkan dari dalam hati kita.

Sumber: TZKRH.COM