Setiap dari kita mempunyai tempoh masa 24 jam setiap hari yang sama. Namun, sering kita dengar perkara ini pernah dilalui oleh kita sendiri iaitu dirasakan waktu yang ada tidak pernah cukup.
Kalau boleh, kita ingin tambah hari kita dengan tambahan dua jam atau tiga jam lagi agar kerja-kerja yang ditangguh dapat dilaksanakan dengan baik. Namun, angan-angan itu tidak akan menjadi kenyataan. Tempoh masa 24 jam yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya sudah mencukupi untuk kita bekerja, berehat dan mentaati kepada Allah.
Jika diberi tambahan waktu lagi, perkara yang sama pasti akan berulang dan masa tetap akan dirasakan tidak mencukupi jika ia tidak dibahagi dengan baik. Oleh itu, berhenti berharap pada benda yang tidak pasti dan susunlah strategi untuk mencukupkan waktu anda.
Adakah Hilangnya Keberkatan Masa
Ada ulama yang menyebut bahawa, perkara ini juga bergantung kepada keberkatan yang Allah berikan kepada kita.
Jika ia dipenuhi dengan perkara yang tidak sia-sia serta dan memberi ketaatan kepada Allah SWT, nescaya hati seseorang akan tenang dan gembira dengan hari yang dilalui. Inilah yang akan menghilangkan perasaan-perasaan negatif seperti masa yang tidak cukup atau kerja-kerja yang dirasakan terlalu banyak bertangguh.
Maksud: “Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlaku dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 1036)
Imam Nawawi menyebut, masa yang dirasakan begitu cepat disebabkan keberkatannya yang telah hilang dalam kehidupan manusia kerana leka dengan duniawi dan tidak memberi fokus kepada akhirat.
Kesimpulannya, apabila terbitnya dalam hati tentang perasaan-perasaan seperti ini, cubalah untuk membaiki diri dengan muhasabah dan memperbanyakkan amalan untuk membawa bekal di akhirat nanti.
Maka, itu tidak bermaksud kita perlu berhenti daripada melakukan semua yang sedang ada, namun hiasilah rutin harian dengan lebih mengingati dan mentaati kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan yang berfaedah.
Sumber: TZKRH.COM