Anugerah khas, insentif untuk Zii Jia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Alor Setar: Kerajaan negeri akan mengadakan sambutan dan memberikan anugerah khas serta insentif kepada Lee Zii Jia selepas anak jati Kedah itu berjaya mengharumkan nama negara menjuarai kejohanan Seluruh England Ahad lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun, anugerah khas dan bentuk insentif kepada jaguh perseorangan lelaki negara itu masih dirahsiakan.

“Selepas Zii Jia selesai menjalani kuarantin di Kuala Lumpur, kita akan uruskan sambutan khas serta anugerah khas yang masih dirahsiakan.

“Harap semua orang dapat bersabar, insentif pun ada dan nilainya belum dipertimbangkan lagi tapi Insya Allah ada.

“Kita sangat menghargai dan berbangga dengan pencapaian Zii Jia sebagai anak Kedah, orangnya masih muda iaitu 23 tahun dan dia berjaya dengan ciri-ciri sokongan yang kuat daripada ibu bapa dan kakaknya sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Zii Jia adalah contoh kepada anak muda di negeri ini yang berjaya dalam bidang sukan dengan sokongan kuat daripada keluarga dan mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

“Saya rasa faktor kekeluargaan yang kuat akan membantu pencapaian anak-anak, jadi ibu bapa yang ada anak yang berkebolehan dan berkemahiran dalam sukan, mereka perlu memberi sokongan moral kepada anak-anak agar cemerlang dalam bidang sukan.

“Saya ucap tahniah kepada Zii Jia bagi pihak kerajaan negeri dan untuk makluman gambar saya yang bergandingan dengan beliau hanyalah suka-suka saja, bukan lawan pun, saya cuma melawak tulis kapsyen begitu dalam media sosial saya,” katanya.

Zii Jia merangkul kejuaraan besar pertamanya dalam kejohanan Seluruh England Ahad lalu dengan menumpaskan juara bertahan, bekas juara dunia dan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Beliau menang dalam aksi sengit 30-29, 20-22,21-9 untuk muncul perseorangan lelaki Malaysia keenam menjuarai kejohanan badminton tertua di dunia.

Kemenangan di Birmingham itu membolehkan Zii Jia,23, menamatkan penantian empat tahun Malaysia selepas kali terakhir muncul juara menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Sumber: My Metro