Ketika kecil dahulu pasti ada antara kita yang pernah dilarang mandi selepas Asar di bulan Ramadan. Ini kerana ramai yang berkata ia adalah makruh. Ini terjadi kerana kita ingin menyegarkan semula badan dan ujian kepenatan puasa itu tidak terasa lagi. Dan isu ini tidak dinafikan masih berlegar dalam kalangan masyarakat Islam hari ini.
Benarkah dakwaan ini?
Mandi selepas Asar atau sebelum berbuka tidak makruh sebenarnya. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menyejukkan badannya ketika berpuasa kerana cuaca yang panas.
Daripada Abu Bakar bin Abdurrahman RA yang bersabda bermaksud: “Telah menceritakan kepadaku seseorang yang pernah melihat Nabi SAW pada hari Saif menyiram air ke atas kepala Baginda kerana sangat panas dan dahaga sedangkan dia berpuasa.”
Dalam hadis lain menyebutkan bahawa Nabi SAW juga pernah mandi ketika berpuasa. Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa perkhabaran tentang makruhnya mandi selepas Asar selama ini adalah tidak benar.
Tidak salah untuk kita menyegarkan diri atau ingin membersihkan diri lebih awal supaya sebaik sahaja selesai berbuka, kita terus boleh menyegerakan solat dan ibadah yang lain. Wallahua’lam.
Sumber: TZKRH.COM