Apa Itu Neraka Wail Dan Maksudnya?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ibadah solat tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan tiang agama. Ia juga merupakan amalan utama yang akan dihisab kelak dan menggambarkan sejauh mana dekatnya kita dengan Allah.

Maksud: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya, maka dia akan berjaya dan menang dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar), maka dia akan rugi dan menyesal.” (Hadis Riwayat Tirmizi, No. 413)

Bagaimanapun, dalam solat kita tidak boleh memandang ringan terhadapnya. Ia bukan sekadar solat, ia adalah bentuk dan bukti ketaatan kita kepada Allah. Perhatikan perkara rukun dan syarat yang ditetapkan serta yang paling penting adalah dengan menghadirkan hati kepada Allah SWT secara sepenuhnya. Inilah yang dinamakan dengan khusyuk di dalam solat.

Mereka yang cuai, lalai dan bermain-main dalam solat sehingga mengabaikannya, disebutkan bahawa mereka adalah golongan pencuri di dalam solatnya.

Ada sebuah hadis yang disebutkan tentang perkara ini iaitu:

Maksud: “Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dan Allah menyebut mengenai neraka Al-Wail, iaitu mereka yang lalai dan mencuri di dalam solatnya. Dikhabarkan dalam surah Al-Ma’un yang bermaksud:

Mafhum: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendutakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang Ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Surah Al-Ma’un, 107: 4-5)

Apa yang dimaksudkan dengan Al-Wail?

Ibnu Manzur RA menjelaskan bahawa ia bermaksud golongan yang terjerumus ke dalam kebinasaan.

Al-Wail bermaksud azab dan kebinasaan. Ia adalah kata yang digunakan oleh orang Arab untuk menyebut mengenai orang yang terjerumus ke dalam kebinasaan. Manakala, dalam sebuah hadis sahih menyebut bahawa: “Wail adalah sebuah lembah di neraka jahannam.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, No. 7467)

Kesimpulannya, wail adalah sebuah tempat di dalam neraka yang terkandung azab buat mereka yang lalai dan mencuri di dalam solatnya. Oleh itu, jagalah perihal solat dan jangan dipandang remeh terhadap solat serta sentiasa hadirkan hati untuk khusyuk kepada Allah.

Sumber: TZKRH.COM