Tandanya adalah dengan menguji hamba tersebut.
Allah S.W.T tidak menguji kita tanpa ada sebab. Kerana ujian Allah S.W.T itu membuatkan kita sedar dengan status kita sebagai hamba Allah S.W.T.
Kita selayaknya diuji oleh Pencipta kita. Benarkah kita ini beriman atau tidak? Kita seharusnya menghadapi ujian Allah S.W.T. Barulah kita tahu di mana tahap keimanan kita. Adakah sekadar mulut mengucap beriman? Atau sebenar-benar keimanan.
Artikel kali ini mengupas tentang 5 ujian yang telah disebut Allah S.W.T di dalam al-Quran. Marilah kita mengambil peringatan dan pengajaran bersama. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” Surah Al-Baqarah:155
1. Perasaan Takut
Takut adalah fitrah manusia. Jika seseorang itu berani, ketahuilah dia pasti mempunyai perasaan takut tetapi disebabkan perasaan beraninya lebih menguasai diri, dia digelar pemberani. Begitu jugalah sebaliknya.
Takut ini ada pelbagai keadaan dan situasi. Berbeza orang, berbeza perasaan takutnya. Ada orang kaya yang takut jatuh miskin. Orang yang ada kuasa dan pangkat takut hilang kuasa dan pangkatnya. Dan ada yang takut dengan kematian.
Sesungguhnya ketakutan itu ujian Allah S.W.T kepada hambaNya. Hanya hamba yang beriman yang dapat mengawal ketakutannya menjadi ketakutan yang positif. Bagaimana?
Ketakutan untuk melakukan maksiat dan dosa. Ketakutan untuk mengundang murka Allah S.W.T. Semuanya itu perasaan takut tetapi takut yang baik.
2. Kelaparan
Ujian kelaparan menjadi antara ujian yang terbesar dalam kehidupan manusia. Di akhir zaman juga, ketika datangnya Dajal, kita diuji dalam keadaan lapar dan dahaga.
Lihatlah di zaman kini, tersebar dan terdengar pelbagai berita yang menunjukkan betapa peritnya ujian kelaparan.
Sanggup mencuri, merompak kerana tidak makan. Sanggup membunuh orang kerana inginkan sesuap nasi. Nauzubillah minzalik.
Memang ujian kelaparan sangat menyakitkan. Bagi mereka yang mempunyai lebihan rezeki, elok dan mestilah membantu mereka yang dalam kelaparan.
Janganlah membazir dan terlalu mengumpulkan harta bertimbun-timbun sehingga kita terlupa ada orang yang sedang memerlukannya.
3. Kekurangan Harta Benda
Harta benda menjadi satu rebutan manusia di masa kini. Jika poket kosong, jalan menunduk dan rentak langkah kaki menjadi lemah. Dan bila duitnya ada, gaya jalan pun sudah berubah.
Inilah ujian Allah. Iaitu manusia diuji dengan kekurangan harta benda. Merasa tidak ‘enak’ apabila duit tiada. Hidup pun merasa tidak sempurna. Takut pula mahu menderma. Simpan sehingga mencecah berjuta.
Sedarlah bahawa harta benda tidak akan membawa ke mana-mana. Jadilah orang kaya yang bersyukur. Orang miskin pula jadilah orang yang bersabar.
Semua ketentuan Allah ada hikmahnya. Yang penting ada usaha dan berdoa. Kekurangan harta di dunia sifatnya sementara.
Ingatilah jika kekurangan amalan di akhirat sana. Itulah yang perlu dirisaukan.
4. Kehilangan Jiwa (Kematian)
Siapa yang tidak sedih dengan kematian orang yang kita sayang. Jika punya hati dan nurani, kita pasti akan menangis. Tidak salah menangis. Yang salah meratap dan tidak dapat menerima hakikat kematian seseorang.
Sedarlah yang kematian itu bukan pengakhiran kita dengan seseorang. Ia hanya perpisahan jasad di dunia.
Di hari akhirat nanti, kita akan bertemu semula. Dan pertemuan kita di sana tiada akhirnya. Kekal selamanya. Bahagia pun selamanya di dalam syurga. Subhanaallah.
Kita yang masih hidup, haruslah diteruskan. Insyaallah, masanya akan tiba. Perpisahan dengan orang yang kita sayang hanyalah seketika. Nanti kita akan bertemu jua. Percayalah.
5. Kekurangan Hasil Tanaman
Setiap petani dan pesawah pasti mahukan hasil tanaman yang subur dan mengeluarkan tuaian yang banyak.
Siapa pun tidak mahu rugi kerana kita sudah berpenat lelah untuk mendapatkan hasilnya. Namun, adakalanya hasil tanaman kita tidak menjadi.
Ingatlah, itu adalah ujian Allah kepada hambaNya seperti yang disebut dalam ayat al-Quran di atas. Kalanya banjir menimpa. Ada saatnya hasil tanaman dicuri manusia. Perit dan sedih, itu pasti.
Pada orang yang beriman mereka terima dengan hati yang terbuka. Kekurangan hasil tanaman menjadikan mereka tidak mengalah untuk meneruskan usaha.
Memang saat ini hasil tanamannya tidak menjadi. Tetapi kita tidak tahu, mungkin nanti hasil tanaman menjadi banyak atas ketabahan kita.
Jalan Keluar
Di pengakhiran ayat 155 dari Surah al-Baqarah, Allah telah memberi motivasi dan penyelesaian segala ujian kepada kita;
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Itulah formula untuk kita menghadapi kelima ujian di atas. Sabarlah menjadi kunci kejayaan untuk menempuhi cabaran dan ujian hidup.
Kesabaran itu bukan satu perkara sia-sia kerana ada ganjaran besar yang menanti kita. Terimalah dengan berlapang dada dan bersabar.
Sematkan di hati dan peringat pada diri yang semuanya dari Allah dan kepadaNya juga kita akan kembali. Kita datang dan kita akan pergi. Tujuannya satu. Hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Sumber: TZKRH.COM