APM pacak buluh lekat lut sinar di kawasan bahaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter


Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tumpat mengambil inisiatif memacak buluh setinggi lima meter di kawasan ditenggelami banjir sebagai amaran terdapatnya halangan di lokasi terbabit bagi mengelak bot terbalik ketika operasi menyelamat.

Ketua Operasi Penyelamat di Air APM Tumpat, Sarjan Nazizul Che Mahmud berkata, penanda terbabit dilekatkan dengan plastik lut sinar hijau dan pita hitam kuning diletakkan di empat kampung yang setiap tahun menjadi kawasan terawal ditenggelami air di daerah itu.

Menurutnya, sebagai persediaan awal menghadapi limpahan air Sungai Golok yang boleh berlaku bila-bila masa, pihaknya mengambil inisiatif meletakkannya lebih awal kerana bimbang kejadian tidak diingin berlaku semasa operasi menyelamat dijalankan.

“Antara yang paling awal terjejas ialah Kampung Kubang Sawa, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Jejulok dan Kampung Nibong. Jadi kami ambil inisiatif awal.

“Kita letak penanda ini untuk membantu mereka yang melalui kawasan terbabit menggunakan bot terutama waktu malam. Ia supaya bot atau sampan berhati-hati dan tidak melanggar pembetung, jambatan besi ataupun pintu air di kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Batang buluh yang sudah siap dilekatkan plastik lut sinar dan pita hitam kuning yang dipacak.

Terdahulu beliau bersama 14 anggota lain bergotong-royong memasang tujuh penanda berkenaan di kampung-kampung terlibat bermula jam 9 pagi hingga 1 petang hari ini.

Sementara itu, Nazizul berkata, pasukannya diberikan tanggungjawab untuk menyelia operasi menyelamat di Kampung Derdap, Kajang Sebidang dan Kampung Naga Ibu melibatkan lebih 1,000 penduduk.

Menurutnya, kesemua penduduk terlibat dengan banjir akan dipindahkan menggunakan enam bot APM yang disediakan ke Masjid Kubang Sawa sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Derdap, Yasir Abdul Rahman, 50, berkata, dia sangat berterima kasih kerana dengan adanya penanda tersebut ia dapat membantu pendudukmembantu APM melakukan operasi menyelamat mangsa banjir.

Sumber : Sinar Harian