APM Perlukan 3,500 Anggota Berjawatan Tetap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan sekurang-kurangnya 3,500 anggota baharu berjawatan tetap bagi memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan pasukan itu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Nor Hafifi Ismail berkata, pertambahan anggota itu amat wajar kerana kekuatan 576 anggota yang sedia ada tidak mencukupi.

Katanya, tugasan dan tanggungjawab yang diharapkan pula semakin bertambah pada setiap tahun, di samping penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita.

“Tugasan hakiki lain membantu mangsa banjir, menjaga sempadan, memastikan harta awam dan keselamatan penduduk terjamin.

 “Ia menjadi mudah kerana dibantu kira-kira 4,000 anggota sukarelawan terlatih APM.

“Di sebaliknya pula, pihak kami tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada mereka, kerana anggota itu terikat dengan komitmen lain, selain kurang mahir menangani kes-kes tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Rasmi Pasca Banjir ke Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Menurut Nor Hafifi lagi, jika anggota itu berjawatan tetap, mereka pastinya serba boleh sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dan mahir menangani situasi genting.

“Melihat keadaaan itu, APM berharap pihak kerajaan terutama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan permohonan pihaknya untuk menambahkan anggota berjawatan tetap dalam pasukan APM,” katanya.

Sumber: TRDI News