Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melakukan siasatan lebih agresif untuk mengenal pasti dalang ‘sindiket darat’ yang menjadi punca kemasukan bot nelayan asing di perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, siasatan lebih mendalam dilakukan untuk mengenal pasti sama ada sindiket didalangi orang tempatan atau warga asing yang menetap di Malaysia.
Katanya, ia berkemungkinan terjadi kerana ada individu yang bersekongkol dalam memalsukan dokumen atau permit perjalanan selain berlaku kewujudan bot klon bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa.
“Pihak kami sering kali mengenal pasti kes membabitkan bot yang mempunyai nombor pendaftaran yang sama, tidak kurang juga lesen tempatan yang diguna oleh nelayan asing.
“Ia adalah sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang kerana mereka mendapatkan hasil laut di perairan negara, tetapi hasil berkenaan dihantar terus ke negara mereka.
“Justeru, APMM terus berusaha mengesan modus operandi yang dilakukan kumpulan nelayan asing supaya perairan negara terus terjaga daripada dibolosi ,” katanya dalam sidang media di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Mohd Zubil membuat lawatan di Pusat Tahanan Vesel (PTV) yang semakin sesak dengan bot terutamanya bot nelayan asing yang ditahan sepanjang operasi yang dijalankan oleh APMM negeri itu.
Menurutnya, bagaimana pun hasil tinjauan udara yang disertai beliau di perairan Pantai Timur dengan menaiki pesawat Bombardier CL-415, mendapati hanya tiga buah bot dikesan dipercayai milik nelayan asing berada di kawasan hujung sempadan dengan jarak 140 batu nautika.
“Ia suatu perkembangan yang positif membuktikan Ops Kuda Laut yang dijalankan APMM sejak Jun tahun lalu hampir mencapai sasaran selain berharap situasi terus berkekalan dan perairan negara terkawal.
“Pihak kami turut memohon kerjasama daripada nelayan tempatan untuk menyalurkan maklumat kepada APMM jika melihat kehadiran bot asing atau yang mencurigakan agar pihak kami boleh menyiasat seterusnya mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sumber: My Metro