APMM Kelantan lupus 245 bot nelayan asing sejak 2007

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan sudah melupuskan 245 bot nelayan Vietnam dianggarkan bernilai RM367 juta sejak 2007 sehingga kini.

Pengarahnya Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, sebanyak 183 daripada bot itu dilupuskan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di sekitar perairan Kelantan.

“Pada tahun ini, APMM Kelantan menahan sebanyak 22 bot nelayan asing dan kami menjangkakan kesemua bot ini akan dilupuskan tahun ini atau selewat-lewatnya, tahun hadapan selepas mendapatkan perintah lucut hak daripada mahkamah.

“Proses penenggelaman bot untuk dijadikan tukun tiruan ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT),” katanya dalam sidang media selepas pelupusan empat bot nelayan Vietnam di perairan Pantai Sabak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Nazri Ishak.

Proses penenggelaman kesemua bot sedalam 21 meter itu mengambil masa selama dua jam berikutan keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 1.5 hingga dua meter.

Syed Nor Adli berkata, kesemua bot yang dilupuskan bernilai RM5.5 juta selepas ditahan dalam Op Naga Barat dan Op Kuda Laut bagi mengekang pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara.

Menurutnya, salah satu bot yang dilucut hak membabitkan kru bertindak ganas membaling bom diesel serta objek keras dan tajam ke arah anggota ketika ditahan untuk pemeriksaan pada Ogos tahun lalu.

“Kesemua bot yang ditahan ini disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia,” katanya.

Sumber: My Metro