APMM-PETRONAS Tunda Kapal Hantu Hanyut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU- Sebuah kapal ‘hantu’ yang hanyut ke perairan Malaysia di kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam berjaya ditunda ke Kemaman Base Supply hasil kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan PETRONAS, hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Dato’ Zubil Mat Som memaklumkan, kapal WINPOSH RAMPART tanpa kru, 72 meter panjang dengan berat 2588 ‘Gross Tonnage’ yang dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju ke Yang Pu, China dilaporkan hanyut akibat terputus tali ketika ditunda kapal LIMIN ROSMINA milik syarikat perkapalan Indonesia dalam perairan Vietnam berikutan cuaca buruk, kira-kira jam 3.15 petang.

“Sejurus dilaporkan, Maritim Malaysia telah mengkoordinasi bantuan bersama PETRONAS untuk menunda kapal WINPOSH RAMPART ke lokasi yang lebih selamat.

“Ini berikutan analisis penilaian risiko mendapati, kapal WINPOSH RAMPART berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik PETRONAS dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan bagi menanganinya,” jelasnya melalui kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Tambahnya, Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia juga telah diatur gerak bersama pesawat AW139 bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut dan risiko kebarangkalian melanggar pelantar.

“Aset yang terlibat bagi operasi ini adalah Kapal Maritim (KM) JUJUR dan Pesawat AW139 bersama enam anggota PTK telah bergerak ke lokasi kapal tersebut hanyut untuk memberi bantuan. 

“PETRONAS turut menghantar kapal ICON LOTUS dan SK PILOT pada jam sekitar 10.00 pagi tadi bagi memantau serta membantu operasi tersebut”, katanya.

Sumber: TRDI News