APMM tahan 13 nelayan Vietnam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Cubaan 13 nelayan Vietnam menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika menceroboh perairan negeri ini gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Dua bot terbabit ditahan ketika menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding pada kedudukan 35 dan 36 batu nautika timur laut, Kuala Terengganu, antara 6.35 pagi dan 7.14 pagi.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan oleh Kapal Maritim (KM) NUSA yang sedang menjalankan rondaan Ops Iman di perairan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bot pertama dikendalikan empat kru termasuk tekong, manakala bot kedua dikendalikan sembilan kru termasuk tekong.

“Pemeriksaan mendapati kesemua kru kedua-dua bot terbabit adalah warga Vietnam dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan nama-nama mereka juga tiada dalam senarai buku lesen kedua-dua bot terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 15,000 liter diesel bernilai dan lebih 2,000 kilogram ikan dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM2 juta.

Muhammad Suffi berkata, kesemua 13 kru termasuk tekong berusia antara 26 hingga 47 tahun ditahan kerana tidak memiliki permit kerja dan dokumen pengenalan diri.

“Kedua-dua bot tersebut berserta kru dan tekong ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Terengganu kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing bekerja tanpa permit yang sah,” katanya.

Sumber: My Metro