APMM tahan tiga bot, rampasan bernilai RM3 juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan tempatan kelas C2 bersama 24 nelayan warga Vietnam membabitkan rampasan bernilai RM 3 juta.

Ketiga-tiga bot berkenaan ditahan pada jarak antara 33 hingga 38 batu nautika dari Kuala Terengganu antara jam 5 hingga 6 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat awam yang mengesyaki berlaku aktiviti penangkapan ikan membabitkan bot nelayan asing.

Beliau berkata, Kapal Maritim (KM) Nusa bergerak ke lokasi kejadian dan mendapati tiga bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot itu dikendalikan 24 nelayan termasuk tekong warga Vietnam yang berusia antara 21 hingga 52 tahun dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Selain itu, ketiga-tiga bot berkenaan dipercayai melanggar syarat sah lesen apabila menggunakan saiz mata pukat yang kurang daripada 38 milimeter (mm).

“Kita turut merampas 3,500 liter diesel dan 5.5 tan ikan sebelum kesemua bot bersama nelayan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, kesemua nelayan asing itu menjalani saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963.

“APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara,” katanya.

Sumber: My Metro