KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi mungkin jawapan yang diperlukan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam usaha untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi saingan Piala Asia di Qatar tahun depan.
Kehadiran tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilihat mampu memberi tonik tambahan buat pasukan terutamanya di bahagian serangan selepas barisan pemain muda negara menampilkan prestasi kurang meyakinkan ketika kempen kelayakan di Thailand berakhir kelmarin.
Pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata pihaknya tidak pernah berhenti berharap untuk Arif Aiman dapat dilepaskan bagi membarisi skuad B-23 negara menghadapi Piala Asia 2024.
“Perancangan itu tidak pernah mati (memanggil Arif Aiman) dan setiap masa apabila berbincang bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, ada panggilan skuad B-23 sudah pastinya bertanya Arif Aiman boleh panggil atau sebaliknya.
“Terpulang pada pucuk pimpinan (FAM) kerana seperti kami ini, senang ada pemain dan akan buat kerja untuk pastikan skuad muda dapat keputusan positif.
“Saya berdoa pada April tahun depan kalau ada rezeki pemain seperti ini dapat membantu pasukan B-23 negara,” katanya.
Arif Aiman tidak disenaraikan bersama skuad B-23 negara ke Thailand sebaliknya dia membarisi skuad senior yang berdepan dua aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China menentang Syria dan China.
Skuad B-23 negara bagaimanapun berjaya mengesahkan tiket ke Qatar selepas muncul empat naib juara terbaik selepas berakhirnya kesemua aksi peringkat kumpulan kelayakan kelmarin.
Skuad negara yang beraksi dalam Kumpulan H melakar dua kemenangan dengan menewaskan Bangladesh 2-0 dan Filipina 4-0 sebelum tewas 0-1 di tangan Thailand pada aksi terakhir.
Sementara itu, jurulatih skuad B-23 negara, E Elavarasan enggan melayan kecaman yang diterimanya termasuk desakan untuk dia meletak jawatan susulan prestasi hambar anak buahnya ketika kempen kelayakan di Thailand.
Elavarasan berkata dia bersama barisan kejurulatihan yang lain memerlukan masa untuk membentuk sebuah pasukan mantap bagi mencatat keputusan positif dalam saingan antarabangsa.
Katanya, anak buahnya sudah berusaha untuk menampilkan persembahan terbaik bagi memastikan Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia.
“Untuk saya tak ada masalah. Seperti yang saya katakan sebelum ini proses memerlukan masa untuk membina satu pasukan yang kuat.
“Jika nak bercerita mengenai merit pun saya tak ada masalah. Apa yang penting perlawanan pertama dan kedua barisan pemain berjaya meraih kemenangan.
“Saya sangat berterima kasih kepada barisan pemain kerana mereka beraksi dengan baik pada perlawanan tempoh hari,” katanya.
Elavarasan yang juga pembantu kepada pengendali skuad Harimau Malaya berkata, walaupun menerima pelbagai kecamana namun beliau tetap percaya barisan kejurulatihan ketika ini berupaya untuk membawa pasukan muda negara mengharungi Piala Asia B-23 tahun depan
“Secara peribadi saya nak bertanya adakah pemain kita sekarang ini mempunyai kualiti untuk mengharungi Piala Asia B-23…jika ada sudah pastinya kami (barisan kejurulatihan) juga mempunyai kualiti itu,” katanya.
– BERITA HARIAN