Arsenal Kembali Rampas Kedudukan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Arsenal kembali merampas petak depan pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menang 4-2 di Aston Villa manakala Manchester City seri 1-1 di Nottingham Forest.

Hanya tiga hari selepas menyerahkan kedudukan teratas buat pertama kali apabila kalah 3-1 kepada City, Arsenal bangkit dengan gaya tersendiri untuk kembali dua mata di depan juara bertahan itu.

Berbaki hanya seminit di Villa Park, skuad kendalian Mikel Arteta berdepan bahaya sekali lagi mencicirkan mata dalam usaha menang gelaran pertama kali sejak 2004.

Arsenal dua kali ketinggalan hasil jaringan Ollie Watkins dan Philippe Coutinho, namun Bukayo Saka dan Oleksandr Zinchenko kembali menyamakan kedudukan.

Dalam masa tambahan, Arsenal mendapat bantuan daripada bekas penjaga gol mereka apabila bola terkena Emiliano Martinez dan masuk ke gawang sendiri secara tidak sengaja selepas sepakan Jorginho terkena palang.

Gabriel Martinelli melengkapkan kemenangan Arsenal apabila meledak ke gawang yang kosong selepas Martinez terperangkap di atas selepas sepakan penjuru Villa.

“Kami kembali dengan lebih rasa percaya berbanding sebelumnya kerana anda sudah menukar persembahan kepada keputusan yang bagus,” kata Arteta.

“Pasukan menunjukkan kualiti yang beremosi yang amat kami perlukan. Saya sangat gembira.”

Sementara itu Liverpool kembali memburu kedudukan empat teratas selepas menamatkan 17 aksi tanpa kalah Newcastle dengan kemenangan 2-0 di St James’ Park.

Darwin Nunez meledak buat Liverpool dari dalam kotak penalti selepas 10 minit dan Cody Gakpo menggandakan kelebihan mereka hasil gol jarak dekat.

Penjaga gol Newcastle, Nick Pope dibuang padang pada minit ke-22 kerana memegang bola di luar kawasannya.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini di kedudukan kelapan – adalah pasukan terakhir menewaskan Newcastle dalam liga pada Ogos – kini enam mata di belakang Magpies berbaki satu perlawanan dalam tangan.

“Kedua-dua gol adalah menakjubkan. Apabila kami tidak berada di tahap terbaik, anda perlu bertarung dan itulah yang kami lakukan. Adalah sesuatu yang hebat untuk menjadi jujur,” kata Klopp.

“Adalah terlalu awal untuk mengatakan bahawa kami sudah kembali berada di sana, tetapi kami mengambil selangkah lagi ke depan.”

Sumber : BERITA HARIAN