AS rancang benarkan kemasukan pelancong sudah divaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) yang menutup sempadannya kepada sebahagian besar dunia akibat pandemik COVID-19, bercadang membenarkan semula pelancong asing yang sudah lengkap divaksin memasuki negara itu.

Menurut kenyataan Rumah Putih semalam, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menyedari pentingnya kehadiran pelancong antarabangsa dan bercadang supaya dibuka semula kepada pengunjung dari luar negara dengan cara ‘selamat dan lestari’.

“Ini akan dilaksanakan secara bertahap dengan menekankan pelancong dari semua negara yang akan memasuki AS perlu membuktikan sudah mendapat vaksin COVID-19 lengkap,” katanya tetapi tidak memaklumkan mengenai jangka masa bila akan dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu lagi, rancangan itu menandakan evolusi signifikan pendekatan kerajaan AS membendung pandemik itu, yang ketika ini masih mengekalkan sekatan terhadap kedatangan pelancong antarabangsa.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Sekumpulan individu sedang menyediakan sistem baharu yang lebih

‘konsisten dan selamat’ untuk kemasukan pelancong antarabangsa sebaik saja mendapat kebenaran untuk membuka sempadan negara,” katanya.

AS sebelum ini melarang kemasukan pelancong dari negara Kesatuan Eropah (EU), Britain, China dan Iran selama lebih dari satu tahun kerana pandemik COVID-19, sebelum menambah negara lain termasuk Brazil dan India.

Kesatuan Eropah pada Jun lalu dibuka untuk pelancong dari Amerika Syarikat, yang biasanya memerlukan bukti vaksinasi atau ujian negatif, di bawah tekanan dari negara-negara yang bergantung kepada industri pelancongan seperti Greece, Sepanyol dan Itali.

Virus COVID-19 varian Delta mendorong peningkatan kes jangkitan itu di AS, terutama di kalangan orang yang tidak divaksinasi.

Isnin lalu, AS mencapai matlamat memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 kepada 70 peratus rakyat dewasa, walaupun hampir sebulan lewat daripada sasaran awal. – AFP

Sumber: Berita Harian