KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN menerima lebih 123 juta pelancong asing pada tahun lalu yang menyaksikan peningkatan sebanyak 30.6 peratus berbanding tahun 2023.
Peningkatan ini didorong oleh pengenalan insentif perjalanan seperti peraturan visa lebih mudah dan pembangunan produk pelancongan baharu.
Peningkatan angka yang menggalakkan ini dilaporkan di Forum Pelancongan ASEAN 2025 yang berlangsung di Malaysia dari 15-20 Januari lalu.
Dalam mesyuarat tersebut, negara ASEAN bersetuju mempromosikan dan mengukuhkan rangka kerja kerjasama pelancongan.
Ini termasuk dengan menyumbang dan melaksanakan aktiviti pelancongan di rantau ASEAN dan dalam setiap negara anggota termasuk penyertaan aktif dalam Pelancongan ASEAN-China 2025, Pelancongan ASEAN-India 2025 dan aktiviti berkaitan.
Forum ini turut mengkaji pelaksanaan aktiviti keutamaan dari 2016-2025 dan membincangkan strategi pelancongan ASEAN untuk 2026-2030, yang memberi tumpuan kepada pelancongan bertanggungjawab, kelestarian, penyertaan dan kebolehsuaian.
Mesyuarat juga menekankan kepentingan kerjasama antara negara anggota ASEAN, pelbagai pihak berkaitan dan sektor perniagaan untuk mencapai pembangunan mampan.
– AWANI