TIDUR yang mencukupi adalah amat penting untuk kesihatan tubuh kita. Orang dewasa digalakkan untuk tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam bagi memenuhi keperluan badan yang sihat.
Waktu tidur yang tidak cukup sering kali dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan, termasuk kenaikan berat badan dan obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics baru-baru ini menunjukkan bahawa mereka yang tidak mendapatkan tidur yang mencukupi lebih cenderung untuk makan makanan ringan dengan lebih kerap.
Hasil kajian menunjukkan bahawa individu yang tidur kurang dari tujuh jam lebih cenderung untuk makan makanan ringan berbanding individu yang tidur lebih daripada jumlah tersebut.
Orang dewasa digalakkan untuk tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam.
Selain itu, mereka yang tidak mendapatkan tidur yang mencukupi lebih cenderung untuk memilih makanan ringan yang mengandungi lebih banyak kalori.
“Mendapatkan tidur yang mencukupi bukan sahaja membantu kita memenuhi keperluan khusus yang berkaitan dengan kesihatan, tetapi juga berkait dengan pilihan untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membahayakan kesihatan. Semakin lama kita berjaga, semakin banyak peluang untuk kita makan,” kata ketua kajian tersebut, Christopher Taylor, yang juga seorang profesor diet perubatan di Sekolah Kesihatan dan Rehabilitasi di The Ohio State University.
Menurut kajian yang dijalankan terhadap 19,650 orang dewasa itu, hampir semua orang – 95.5 peratus makan sekurang-kurangnya satu makanan ringan dalam sehari.
Berbanding dengan peserta yang tidur tujuh jam atau lebih setiap malam, mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi lebih cenderung makan makanan ringan pada waktu pagi dan petang.
Mereka juga memilih makanan ringan yang mempunyai lebih banyak kalori dan kurang khasiat.
“Bukan sahaja kita tidak mendapat tidur yang mencukupi ketika berjaga malam, tetapi kita melakukan semua perkara yang berkaitan dengan masalah obesiti: kekurangan aktiviti fizikal, peningkatan waktu melihat skrin, juga pilihan makanan yang kita makan sebagai makanan ringan,” tambah Taylor.
Sumber: Mstar