Atlet Olahraga Teruja Beri Aksi Terbaik di Hanoi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SKUAD olahraga negara sudah cukup bersedia mempamerkan aksi terbaik dalam meraih keputusan positif pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 kali ini.

Menurut Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil, kesemua atlet negara kini giat menjalani latihan seperti biasa dalam usaha mengekalkan fokus masing-masing menjelang temasya sukan dwi tahunan berkenaan.

Malah katanya, para atlet negara kini memberikan fokus dari segi mengekalkan kecergasan, teknik, memperbaiki kelemahan dan mengekalkan kekuatan atau kelebihan dimiliki masing-masing.

“Sememangnya ketika ini, semua atlet kita kini menjalani latihan macam biasa dalam usaha mengekalkan fokus masing-masing menjelang Sukan SEA Hanoi 2021.

“Oleh itu, saya yakin, skuad olahraga kita sudah cukup bersedia untuk mempamerkan prestasi terbaik di Hanoi nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod pada edisi Filipina 2019 lalu, kem olahraga negara meraih lima pingat emas menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera (lelaki), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita), Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki) dan Muhammad Haiqal Hanifi bagi acara pecut 100 meter yang turut dinobatkan selaku raja pecut Asia Tenggara dengan catatan 10.35 saat.

Sementara itu, Mohd Manshahar menyifatkan, sasaran 36 pingat emas ditetapkan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA Hanoi 2021 dilihat sebagai sasaran realistik.

Katanya, sasaran tersebut mampu dicapai kontinjen negara berdasarkan kepada tahap persediaan yang dilakukan ketika ini.

Sumber: SINAR HARIAN