Kuala Nerus: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu negeri yang berkemungkinan akan berlaku banjir gelombang seterusnya.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, walaupun situasi banjir semasa di kebanyakan negeri termasuk di Terengganu semakin pulih, ATM tetap diarahkan bersedia untuk menggerakkan aset dan anggota sehingga monsun Timur Laut berakhir.
Katanya, koordinasi ATM dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri sangat rapat dan tumpuan utama adalah membantu kerja pasca banjir.
“Selain melakukan kerja pembersihan kediaman mangsa banjir, membaik pulih infrastruktur, jalan raya serta jambatan, ATM juga bersedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melakukan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir.
“Saya sudah melakukan lawatan ke empat negeri iaitu Johor, Kelantan, Pahang serta Terengganu dan didapati koordinasi kerajaan negeri dalam melakukan kerja menyelamat mangsa banjir sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Murni ATM di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Kem Seri Pantai, Seberang Takir, di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis Negeri, Datuk Rohaimi Md Isa.
Mengenai situasi banjir di Selangor, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, semua pihak diminta berhenti menuding jari menyalahkan kerajaan mengenai kekalutan dalam operasi banjir di negeri itu pada 18 Disember lalu.
Katanya, banjir yang melanda di Selangor bukanlah bencana biasa terutama di beberapa bandar yang sudah pasti berbeza gerak atur aset serta sumber manusia.
“Operasi banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang serta Johor lancar kerana negeri itu sudah beberapa kali menghadapi situasi berkenaan sebelum ini,” katanya.
Sumber: My Metro