Kuala Lumpur: Selepas berbelas hingga berpuluh tahun, khidmat artis ubah suara sama masih ditagih untuk menghidupkan watak animasi masing-masing selain sukar dicari ganti.
Daripada kanak-kanak hingga dewasa, malah daripada muda hingga sudah berusia, artis ubah suara ini punya peranan dalam menghidupkan watak animasi dibawa seperti suara yang comel.
Malah, peminat watak berkaitan, contohnya Doraemon yang diubah suara oleh Ruhaiyah Ibrahim, 55, juga masih lagi individu sama yang meminatinya 20 tahun lalu.
Ruhaiyah mula menceburkan diri sebagai artis ubah suara sejak 1980-an.
Bukan itu saja, kerana ubah suara mereka yang unik ini, peminat baru terdiri daripada kanak-kanak turut meminati watak dibawa, contohnya seperti watak Upin Ipin dengan artis ubah suaranya, Asyiela Putri Azhar, 20.
Untuk rekod, Asyiela Putri menjadi artis ubah suara bagi watak Upin Ipin sejak dia berusia lapan tahun hingga kini.
Di mana artis ubah suara generasi baru? Mereka juga aktif dalam industri cuma mungkin kurang dikenali berbanding artis ubah suara Doraemon serta Upin Ipin.
Walaupun diminati ramai, ada kalangan artis ubah suara ini juga kini menderita sakit seperti Zairani Sarbini yang mengubah suara untuk watak Detektif Conan, Shizuka serta Sakura.
Zairani kini menghidap barah servik dan masih dirawat di Hospital Shah Alam, Selangor.
Isu lain yang membelenggu industri ubah suara ialah soal bayaran yang dikatakan tidak setimpal dengan usaha dicurahkan.
Ada yang kini hanya memperoleh RM50 untuk satu episod ubah suara dan jumlah ini umpama ‘menghina’ artis itu sendiri.
Apa akan jadi dengan industri ubah suara Malaysia? Masih mendapat permintaan atau semakin malap?
Suka atau tidak, mungkin ia sesukar untuk mencari pengganti artis ubah suara Doraemon, Detektif Conan, Upin Ipin, Shizuka serta Sakura.
12 tahun ‘kekal’ suara
Sejak berusia lapan tahun, Asyiela Putri Azhar menjadi artis ubah suara untuk watak utama siri animasi Upin Ipin.
Kini pada usia 20 tahun, Asyiela Putri yang sedang menuntut di Universiti Multimedia masih diberi kepercayaan untuk memegang watak kesukaan ramai itu.
Asyiela Putri berkata, selari dengan usianya yang semakin meningkat, bukan perkara yang mudah untuk mengekalkan suara dan perwatakan kanak-kanak.
“Alhamdulillah, sehingga kini saya masih lagi dapat mengekalkan suara itu ketika melakonkan suara si kembar berkenaan.
“Sejak dahulu, saya mengamalkan minum air suam dan mengelakkan air sejuk.
“Selama 12 tahun menjadi pelakon suara, secara tidak sedar saya terbiasa dengan karakter animasi itu hingga mampu melakonkannya secara semula jadi,” katanya.
Menurut Asyiela Putri, pembabitannya dengan animasi kegemaran ramai ini sebenarnya bermula secara tidak sengaja apabila pemilik Les’Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi dan isterinya, Ainon Ariff beraya di rumah.
“Saya yang berusia lapan tahun ketika itu diminta membuat mimik suara Upin Ipin dan mereka teruja saya mampu lakukan dengan baik.
“Apabila Les’Copaque ingin mencari pelakon suara Upin Ipin, saya diminta hadiri uji bakat sebelum ditawar menjadi artis ubah suara karakter itu,” katanya.
Asyiela Putri berkata, sebagai penuntut, dia perlu bijak menyusun jadual harian supaya sesi rakaman ubah suara tidak mengganggu pengajian.
“Kerjasama daripada pihak Les’Copaque terutamanya pasukan audio amat dihargai kerana memahami tanggungjawab saya sebagai penuntut disamping artis ubah suara.
“Saya balas kepercayaan diberi untuk sumbang yang terbaik dalam setiap sesi rakaman ubah suara,” katanya.
Sumber: My Metro