Awak keluar dulu – Isteri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA TINGGI: “Awak keluar dulu”. Itulah ungkapan terakhir wanita yang maut dalam kereta terbakar dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Sedenak, malam tadi.

Redzuan Jamil, 28, berkata, beliau ditarik keluar orang ramai daripada cermin kereta bahagian penumpang belakang, cuba menyelamatkan isterinya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin atau dikenali sebagai Azi, 28.

“Cubaan saya memecahkan cermin depan kereta dan memecahkan pintu penumpang depan tidak berjaya dan isteri tersepit di tempat duduk depan.

“Ketika itulah tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

“Saya tidak merasa bahang panas api, malah isteri juga tidak memanggil nama saya, selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dulu,” katanya sugul ketika ditemui di kediaman ibu bapa isterinya di Kampung Lukut Batu 4, di sini, hari ini.

Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang terbakar.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan membabitkan empat kenderaan, berhampiran Sedenak.

Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan belum dikenal pasti.

Menceritakan detik-detik kemalangan berlaku, Redzuan yang mengalami kesan lecuran di muka berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

“Ketika itu semua kenderaan termasuk kereta dinaiki kami berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta dinaiki serta dua lagi dilanggar dengan kuat.

“Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami, sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta,” katanya.

Redzuan yang juga ejen takaful berkata, ketika kejadian malang itu, beliau dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.

Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.

“Saya tidak menyangka insiden ini pula menimpa kami,” katanya.

Redzuan berkata, beliau selalu membawanya ke mana sahaja beliau pergi.

“Kami memang akan berdua ke mana saja sejak berkahwin tiga tahun lalu sebab saya bekerja sendiri.

“Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini,” katanya.

Sumber: Berita Harian