“Tidak ada puasa (tidak dapat ganjaran) orang yang berpuasa terus-menerus sepanjang tahun.”
Apa? Tapi? Bukankah saya sudah mengerjakan amal ibadah seperti yang tercatat dalam kitab suci Al-Quran iaitu berpuasa? Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Surah Al-Baqarah:183
Jadi berdasarkan ayat itu, saya hanya melakukan sebagaimana perintah Allah SWT, malah saya lakukan yang lebih baik lagi, saya berpuasa terus-terusan sepanjang tahun! Tidak, malah Rasulullah SAW bersabda;
“… dan jauhilah oleh kamu sikap ghuluw (berlebihan) dalam agama, karena sesungguhnya orang sebelum kamu telah binasa dengan sebab sikap ghuluw (berlebihan) dalam agama.”Riwayat Muslim
Baginda SAW juga bersabda;
“Binasalah orang yang berlebihan dalam tindakannya.” Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Riwayat Muslim
Berbalik kepada hadis yang pertama tadi, itulah sabda Rasulullah SAW selepas mendengar pengakuan seorang sahabat iaitu Abdullah bin Amr bin Al Ash R.A.
Abdullah bin Amr mengakui bahawa dia telah berpuasa sepanjang hari. Pada sebelah malamnya, dia telah mengerjakan solat sepanjang malam.
Lantas Rasulullah SAW bersabda;
“Janganlah engkau melakukan begitu, tetapi berpuasa dan berbukalah, solat malam tetapi juga ada baki waktu malam untuk tidur. Sesungguhnya bagi jasadmu ada hak yang harus engkau penuhi, bagi matamu ada hak yang engkau harus penuhi, isterimu juga mempunyai hak yang wajib engkau penuhi dan bagi tetamu engkau juga punya hak yang harus engkau penuhi.
Sesungguhnya cukuplah berpuasa tiga hari pada setiap bulan. Kerana bagimu dalam setiap satu kebaikan dilipat gandakan 10 kali. Dengan demikian, jika berpuasa tiga hari setiap bulan bererti sama dengan berpuasa satu bulan atau apabila dilakukan pada setiap bulan, sama saja dengan berpuasa setahun.”
Ternyata Islam tidak pernah menggalakkan umatnya melakukan yang ekstrim. Umat Islam boleh mengumpul bekalan untuk dibawa di akhirat kelak tanpa berlebih-lebihan.
Umat Islam boleh mendapat pahala puasa setahun dengan mengerjakan puasa 6 di bulan Syawal. Abu Ayyub Al-Ansari RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda;
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun.”Riwayat Muslim
Cara pengiraan matematiknya begini, setiap kebaikan diberikan pahala sebanyak 10 kali. Jadi, puasa 30 hari pada bulan Ramadan, mendapat 300 hari (30 hari x 10).
Kemudian teruskan pula amalan berpuasa itu dengan puasa 6 pada bulan Syawal iaitu, 6 hari x 10. Semua sekali berjumlah 360 hari iaitu hampir sama dengan bilangan hari dalam setahun. (Huraian para ulama berkenaan rahsia di sebalik ganjaran itu)
Puasa 6 bulan Syawal ini adalah puasa sunat tahunan iaitu dilakukan setahun sekali dalam bulan Syawal.
Syaratnya bersambungan dengan puasa Ramadan tahun yang sama. Namun hendaklah difahami, puasa 6 bulan Syawal bukan sebahagian daripada puasa Ramadan.
Cara Perlaksanaan
Niat;
“Sahaja aku puasa sunat enam di bulan syawal kerana Allah Taala.”
Hari terbaik untuk mengerjakan puasa 6 bulan Syawal adalah dengan dimulakan pada hari raya kedua, berterusan selama enam hari. Ini bermakna, hari raya untuk orang yang mengerjakan puasa sunat ini akan jatuh pada hari raya ketujuh.
Namun boleh saja dilakukan pada bila-bila hari asalkan dilakukan dalam bulan Syawal, sebanyak enam hari. Boleh berterusan atau selang-seli.
Antara Puasa 6 Dan Puasa Ganti
Ada beberapa perkara yang harus dipertimbangkan berdasarkan hadis-hadis di bawah:
1.Boleh : mengerjakan puasa sunat 6 bulan Syawal sebelum qada puasa Ramadan
Isteri Rasulullah SAW iaitu Saidatina Aisyah pernah menyelesaikan qada puasa Ramadan hingga ke bulan Syaban yang akan datang. Katanya;
“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAWRiwayat Bukhari dan Muslim
Berkenaan hal sibuk melayani Rasulullah SAW, perkara tersebut adalah berdasarkan penjelasan seorang perawi hadis, bernama Yahya bin Sa‘id.
Menurut hujah para ulama yang mengatakan ‘boleh’, mereka berpendapat sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, iaitu Aisyah tidak melakukan puasa sunat 6 ini.
Tindakan Aisyah mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat 6 Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.
2.Tidak boleh : mengerjakan puasa sunat 6 bulan Syawal sebelum qada puasa Ramadan
Para ulama mengatakan ‘tidak boleh’ berhujah berdasarkan hadis;
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun.”
Mereka menegaskan bahawa sekiranya seseorang itu ada hutang puasa Ramadan, perlulah diselesaikan terlebih dahulu. Selepas itu barulah dikerjakan puasa sunat 6.
Dalam soal ini, pendapat kedua lebih kuat kerana menepati dalil puasa sunat 6 Syawal. Juga, hal pembayaran hutang (qada puasa Ramadan) itu perlu diutamakan, wajib didahulukan berbanding mengerjakan sedekah (puasa sunat 6 Syawal).
Antara Berpuasa Sunat Dan Jemputan Jamuan Hari Raya
Kita adalah hamba Allah dan kita juga adalah makhluk sosial. Kita mengerjakan ibadah puasa sebagai tanda taat dan patuh kepada syariat Islam dan untuk mendekatkan diri dengan Pencipta kita.
Sebagai makhluk sosial, wajar untuk kita bercampur gaul dengan masyarakat. Ini termasuklah memenuhi jemputan jamuan hari raya.
Apapun, sekiranya undangan jamuan makan diterima ketika kita sedang berpuasa sunat, kita boleh memenuhi undangan. Rasulullah SAW bersabda;
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”Riwayat Muslim
Dalam hal ini, sekiranya jemputan diterima ketika dia sedang berpuasa fardu seperti sedang qada puasa Ramadan atau puasa nazar, haram baginya untuk berbuka.
Namun sekiranya dia sedang berpuasa sunat, dia boleh berbuka ditakuti tuan rumah tersinggung melihat dia tidak makan. Al-Baihaqi meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW telah bersabda kepada seorang lelaki;
“Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah-payah untuk kamu.” Kemudian baginda menyambung, “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.
Sumber: TZKRH.COM