Azan berkumandang di salah satu masjid terbesar di Jerman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERLIN: Buat pertama kali dalam sejarah, azan berkumandang di salah satu masjid terbesar di Jerman, kelmarin.

Tahun lalu, pihak berkuasa tempatan bandar keempat terbesar Jerman, Cologne membenarkan masjid memohon kebenaran melaungkan azan maksimum selama lima minit, antara waktu tengah hari dan 3 petang, setiap Jumaat.

Kebenaran itu turut mengehadkan bunyi yang ditetapkan untuk setiap masjid mengikut lokasinya.

Setiausaha Agung Kesatuan Turki-Islam untuk Hal Ehwal Agama (Ditib), Abdurrahman Atasoy, berkata perjanjian untuk percubaan dua tahun itu dibuat dengan pihak berkuasa tempatan bandar raya itu, Rabu lalu.

“Kami sangat gembira. Azan memanggil orang ramai menunaikan solat adalah tanda umat Islam berada di sini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Cologne berkata, azan itu akan disiarkan melalui pembesar suara dan boleh didengar di luar walaupun ia harus dihadkan kepada 60 desibel untuk penduduk berhampiran.

“Kebenaran azan itu menunjukkan kita meraikan kepelbagaian agama di bandar itu,” katanya.

Masjid Pusat Cologne, dibangunkan dengan reka bentuk moden dan mempunyai dua menara tinggi terletak di jalan yang sibuk di daerah Ehrenfeld di sebelah barat pusat bandar.

Struktur kaca dan konkrit yang besar direka sebagai putik bunga mempunyai ruang untuk 1,200 jemaah.

Masjid itu dirasmikan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada 2018 dan diuruskan Ditib.

Sebelum ini, azan hanya kedengaran di dalam bangunan.

Terdahulu, pembinaan Masjid Pusat itu ditentang kumpulan sayap kanan, ketua biskop Cologne ketika itu dan lain-lain pada penghujung tahun 2000.

Jerman memiliki lima juta umat Islam, menyumbang kira-kira enam peratus daripada jumlah populasi.

Cologne, yang terkenal dengan Katedral Dom, merekodkan lebih 100,000 penduduk Islam. – AGENSI