Azan Sekuat Hati Sambil Rumah Satu-Persatu Bumbung Rumah Diterbangkan Ribut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT – Lebih 30 kediaman di sekitar Kuala Besut, dekat sini, rosa selepas kawasan terbabit dilanda ribut petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sekurang-kurangnya 11 kediaman mengalami kerosakan serius terutama pada bumbung dengan ada yang diterbangkan angin kencang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, mengesahkan kejadian itu yang kedua melanda kawasan berkenaan, selepas kali pertama ketika Aidiladha lalu.

Antara kawasan terjejas, katanya, termasuk sekitar Kampung Nail, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pachakan serta Teluk Bayu.

“Kejadian kali ini lebih teruk berbanding pada malam Aidiladha lalu, namun jumlah kediaman yang rosak tidaklah banyak seperti sebelum ini,” katanya ketika meninjau lokasi ribut sekitar Kuala Besut, hari ini.

Zaihan berkata, pihaknya termasuk Pejabat Parlimen Besut, Jabatan Kebaikan Masyarakat (JKM) serta badan bukan kerajaan akan membantu mangsa terbabit.

Seorang mangsa, Roslan Mohamad, 61, mengakui hanya sempat melaungkan azan ketika ribut melanda kediamannya.

“Waktu itu, saya di halaman rumah dan sempat melihat langit gelap serta angin kencang dari arah laut.

“Dalam keadaan panik saya melaungkan azan dan ketika itu juga, atap mula tercabut satu persatu. Sebaik habis melaungkan azan, baru keadaan ribut kembali reda,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Suhaizak Mohamad @ Mohd Nor, 44, berkata dia dan isteri sempat berlari ke rumah jiran untuk berteduh.

“Bumbung rumah tercabut sehingga tercampak ke belakang rumah, syukur kami selamat dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, kira-kira 140 keluarga menjadi mangsa apabila rumah mereka rosak akibat dibadai ribut yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini.

Sumber : BERITA HARIAN