Azeem Pecah Rekod 100m Kebangsaan di Colombia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia, awal pagi tadi.

Pelari berusia 18 tahun berasal dari Ipoh, Perak itu mempamerkan larian ‘luar biasa’ apabila mencatat masa 10.09 saat (s) sekali gus menungguli saingan bagi saringan lapan.

Catatan 10.09s dilakukan Muhammad Azeem dalam saingan saringan lapan itu menyaksikan beliau muncul pelari pertama melintas garisan penamat dengan mengejutkan atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita di tempat kedua dengan masa 10.24s.

Muhammad Azeem dan Yanagita masing-masing mengesahkan tempat ke separuh akhir yang dijadual berlangsung awal pagi esok.

Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Lebih menarik, catatan berkenaan adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.

Sementara itu, pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Puripol Boonson dari Thailand turut menjuarai saringan enam dengan melakar masa 10.20s untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Muhammad Azeem sebelum ini turun ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 dengan reputasi sebagai remaja keempat terpantas Asia masing-masing dalam 100m dan 200m berdasarkan catatan masa sehingga Julai lalu.

Berdasarkan catatan masa peribadi terbaik, Yanagita merupakan terpantas dengan catatan 10.16s diikuti Boonson (10.19s), Wang Shuang dari China (10.23s) dan Muhammad Azeem di kedudukan keempat dengan catatan 10.28s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Ipoh, Jun lalu.

Dalam acara 200m, Booson merupakan yang terpantas selepas merakam masa 20.19s, diikuti atlet Korea Selatan, Son Ji-won (20.80s), Yan Haibin dari China (20.88s) dan Muhammad Azeem dengan catatan 20.89s yang dilakukan pada Kejohanan Remaja Sarawak di Kuching, bulan lalu.

Muhammad Azeem turut akan mengambil bahagian dalam 200m di Cali dengan acara itu dijadual bermula 3 Ogos (4 Ogos Malaysia).

Kejayaan Muhammad Azeem itu mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Pencapaian luar biasa dari bumi Colombia!!!. Teruskan momentum kejayaan ini Azeem,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Sumber : BERITA HARIAN