KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencipta sensasi di Amerika Syarikat selepas menjuarai acara 100 meter (m) di Kejohanan Florida State University (FSU) Relays, awal pagi tadi (3 pagi waktu Malaysia).
Pada kejohanan yang berlangsung di Mike Long Track di Tallahassee, Florida, Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.32 saat (s) sekali gus meninggalkan sembilan pelumba lain.
Lebih manis, ia adalah kemenangan sulung buat atlet berusia 18 tahun itu yang membuat debut kejohanan luar dewan di bumi ‘Uncle Sam’ itu selepas tiga penampilan dalam acara 60m dalam dewan sebelum ini.
Tempat kedua acara itu dimenangi Andre Ewers (10.49s) manakala tempat ketiga dimenangi Trei Thorogood (10.51s) mewakili Universiti Syracuse.
Bulan lepas, Azeem menampilkan permulaan baik di Amerika Syarikat selepas memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 60m lelaki dalam dewan miliknya sendiri pada kejohanan Tiger Paw Invitational.
Sumber: BERNAMA