Azizul Hasni Terus Tuai Emas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus menampilkan kayuhan cemerlang pada Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II selepas merangkul pingat emas acara keirin lelaki sebentar tadi.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Hong Kong, pelumba berusia 35 tahun itu nyata sukar dicabar apabila mengenepikan cabaran pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov dengan pingat perak.

Pingat gangsa acara itu menjadi milik seorang lagi pelumba Malaysia, Mohd Akmal Nazimi Jusena.

Lebih manis, ini adalah pingat emas ketiga diraih anak kelahiran Dungun, Terengganu itu di bumi Hong Kong selepas turut merangkul dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut semalam.

Sementara itu, dalam acara pecut wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjaya meraih gangsa selepas mengenepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Park Jihae pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam pada itu, pelumba muda negara, Amber Yong mengikut jejak langkah Azizulhasni apabila cemerlang merangkul pingat emas menerusi acara pecut remaja wanita, menewaskan Valencia Tan dari Singapura yang memenangi perak manakala gangsa menjadi milik pelumba Taiwan, Lin Jhih Yan.

Sumber: BERITA HARIAN