Azizulhasni Kini Nombor Tiga Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendapat tonik tambahan dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kedudukan ranking dunianya melonjak naik bagi acara keirin dan pecut.

Berdasarkan kemaskini dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), pelumba berusia 35 tahun itu kini berada di kedudukan ketiga bagi acara keirin yang menyaksikan kenaikan tiga anak tangga manakala dalam acara pecut individu dia berada di tempat keenam, melonjak 13 anak tangga.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman turut berkongsi perkembangan itu menerusi platform media sosial miliknya, hari ini.

“Ada sedikit berita gembira yang saya nak kongsikan dengan anda semua pagi ini. Syukur Alhamdulillah, ranking dunia semasa saya telah naik beberapa anak tangga.

“Seperti gambar yang dikongsikan kepada semua, ranking dunia saya sekarang adalah keirin nombor tiga dan pecut individu nombor enam.

“Sedikit sebanyak ini memberikan suntikan semangat untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow (Ogos depan) nanti dan juga langkah yang amat positif di dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024. Terima kasih tidak terhingga diatas sokongan dan doa daripada anda semua,” katanya.

Kenaikan ranking dunia pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu dibantu di atas prestasi cemerlangnya ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, minggu lalu yang menyaksikan dia berjaya membawa pulang pingat emas bagi acara keirin dan pecut.

Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni sudah meraih keseluruhan 12 emas sepanjang penyertaannya dalam saingan ACC sejak kali pertama pada 2007, sekali gus bergelar legenda Asia.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turun satu anak tangga di kedudukan ketujuh bagi ranking keirin namun naik 12 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-19 dalam acara pecut individu.

Pelumba berusia 28 tahun itu meraih gangsa menerusi acara keirin pada ACC minggu lalu.

– BERITA HARIAN