Azizulhasni Tak Percaya Raih Perak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengakui terkejut dengan prestasinya apabila memenangi pingat perak di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), semalam.

Kejayaan pelumba berusia 35 tahun itu sememangnya mengejutkan apatah lagi dia kembali berkayuh kurang 12 bulan selepas menjalani pembedahan jantung.

“Macam sukar untuk percaya, kurang 12 bulan yang lepas saya menjalani pembedahan jantung dan kini saya kembali ke puncak dunia berdiri di atas podium.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan semua yang menyokong serta mendoakan kejayaan saya,” tulisnya dalam laman sosial.

Semalam, Azizulhasni membuktikan bahawa beliau masih berbisa dan menjadi pencabar pingat pada Olimpik Paris 2024, apabila meraih pingat perak dalam perlumbaan di Jakarta.

Pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman dan melakukan pembedahan jantung terbuka pada April lalu, berjaya menamatkan saingan keirin lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 10.263 saat (s) di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

Pemenang pingat perak keirin Olimpik Tokyo 2020 itu, hanya sedikit ketinggalan di belakang juara dunia tiga kali berturut-turut sejak 2020, Harrie Lavreysen dari Belanda yang mencatatkan masa 10.239s pada final acara itu.

Pelumba Israel Mikhail Yakovlev membawa pulang gangsa dengan catatan 10.423s, manakala seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya menamatkan final itu selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba New Zealand, Sam Dakin pada pusingan terakhir.

Azizulhasni, seterusnya dijadualkan beraksi dalam acara pecut petang ini.

– BERITA HARIAN