Azizulhasni, Zii Jia Jadi Pilihan Menang Anugerah Perpaduan 100Plus SAM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menjadi pilihan meraih gelaran Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Perpaduan 100Plus Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021 di sini, hari ini.

Azizulhasni selaku jaguh keirin terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ memburu gelaran itu buat kali keempat selepas memenanginya pada 2009, 2017 dan 2019 sekali gus menjadi penerima terbanyak setakat ini.

Pelumba kelahiran dari Dungun, Terengganu mengharumkan nama negara selepas meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara kegemarannya iaitu keirin, sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa dimenanginya pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Beliau dicabar pemain badminton perseorangan lelaki utama negara, yang Lee Zii Jia yang turut melakar sejarah tersendiri pada tahun 2021.

Nama pemain perseorangan lelaki utama negara itu ‘meledak’ di bumi Birmingham apabila menewaskan pemain handalan Denmark, Viktor Axelsen pada aksi final Seluruh England.

Pemain berusia 24 tahun itu menampilkan persembahan bertenaga apabila melakar kemenangan 30-29, 20-22, 21-9 dalam tempoh lebih sejam sebelum mengesahkan gelaran juara.

Dengan kejayaan itu, Zii Jia mengakhiri penantian Malaysia selama tiga tahun untuk menyaksikan pemain negara menjuarai Seluruh England selepas kali terakhir menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Pemain kelahiran Alor Setar itu turut membantu skuad badminton lelaki negara muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 selepas tewas kepada Indonesia 1-3 di Manila.

Selain itu, pemain negara yang bergelar profesional itu turut membantu skuad negara meraih tempat ketiga apabila menyumbang satu mata dalam Piala Sudirman 2021 apabila tewas 1-3 kepada Jepun pada separuh akhir di Vantaa, Finland.

Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah Perpaduan 100Plus SAM 2020/2021 edisi ini turut menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet kebangsaan lain.

Sumber : BERITA HARIAN