Azzmi Lega PDRM Tidak Dibelasah JDT

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU: Pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Azzmi Ab Aziz tidak kesal dengan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya menzahirkan kelegaaan selepas barisan pemainnya tidak menjadi pasukan belasahan pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Katanya, sememangnya perancangan untuk berdepan skuad kendalian Esteban Solari ditumpukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penyandang juara itu merobek gawang PDRM FC dengan jaringan besar.

“Amat bersyukur kerana kami tidak menjadi mangsa seterusnya malah kita jangka sebelum perlawanan bertandang ke stadium keramat JDT bagi mengurangkan defisit gol dan itu sasaran realistik, sebab kita tengok pasukan yang hebat ada yang kena sampai lima dan enam gol di sini.

“Apapun, perancangan kita sedikit terjejas apabila JDT berjaya menjaringkan gol awal, kita jangka boleh beri tentangan dan mengekang mereka serta bermain lebih terbuka pada babak kedua namun lain pula yang berlaku selepas kita bolos terlalu awal terutama seawal minit ketiga permainan,” katanya.

Azzmi menambah pasukannya cuba bangkit pada separuh masa kedua dan beraksi konsisten dengan mengamalkan corak bertahan dan melakukan serangan balas tapi mengakui bukan mudah untuk menyaingi skuad Harimau Selatan yang beraksi konsisten pada perlawanan itu.

Terdahulu, PDRM tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada juara bertahan itu di pusingan kedua dengan Bergson Da Silva menjadi pemusnah pasukan The Cops dengan meledak dua gol pada minit ketiga dan minit ke-12 manakala satu gol lagi dijaringkan Leandro Velazquez pada minit ke-27.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Azzmi berpuas hati dengan persembahan anak didiknya yang sudah melakukan yang terbaik dengan tidak melepaskan sebarang gol pada babak kedua.

Sumber: BERITA HARIAN