KUALA TERENGGANU – Pelumba sensasi negara, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menyasarkan untuk melakar kejuaraan hatrik pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan dari 20 hingga 23 Julai ini di Melaka.
Terdahulu pada kejohanan sama, pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 dalam acara lepas beramai-ramai itu merangkul kejuaraan pada 2015 yang berlangsung di Kelantan dan Pahang 2019.
Pelumba profesional Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang turut merangkul perak di pentas Sukan SEA itu dalam acara kriterium bagaimanapun sedar ianya bukan tugas mudah untuk bergelar pelumba terbaik negara.
Jelas pelumba kelahiran Terengganu berusia 31 tahun itu, cabaran pastinya sengit untuk memburu gelaran itu kerana kejohanan berkenaan adalah himpunan pelumba terbaik dalam negara.
Namun pelumba tinggi lampai yang lebih mesra dipanggil ‘Baam’ itu tidak mahu mengalah lebih awal sebelum bertarung kerana istilah itu tiada dalam kamus hidupnya.
“Kini saya sedang membuat persiapan dengan latihan rapi untuk menyertai kejohanan kebangsaan di Melaka yang berbaki kurang dua minggu lagi sebelum membuka tirainya.
“Jika tanya mengenai sasaran, sudah pasti saya mahu melakar kemenangan kali ketiga di peringkat kebangsaan selepas berjaya muncul juara dua kali sebelum ini di Kelantan dan Pahang.
“Lagipun kejohanan itu dianggap misi serampang dua mata sebagai pemanas badan sebelum beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 23 sehingga 30 September depan,” katanya ketika ditemui di Amki Kafe miliknya di Seberang Takir.
– BERITA HARIAN