Bacaan Hujan di Johor Tertinggi Sejak 1991

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Bacaan hujan yang direkodkan di stesen Air Panas, Segamat, Johor dalam tempoh bermula Selasa lalu hingga semalam sebanyak 731 milimeter (mm), tertinggi pernah dicerap jika dibandingkan dengan rekod hujan bulanan tertinggi pada Disember 1991 dan Disember 2006.

Bacaan yang direkodkan pada Disember 1991 sebanyak 621mm sebulan, manakala pada Disember 2006 sebanyak 599mm.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr Md Nasir Md Noh, berkata bacaan itu juga melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi bulan Mac untuk Johor, iaitu 195mm.

“Episod kali ini menyebabkan semua daerah di Johor terjejas banjir membabitkan 105 lokasi setakat semalam dengan kedalaman banjir bagi kawasan yang terlibat antara satu hingga ke tiga meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Nasir berkata, stesen hujan di Empangan Bekok, Segamat mencatatkan bacaan kumulatif 322mm hujan dalam tempoh 24 jam pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.

“Taburan hujan yang tinggi ini menyebabkan pelepasan air bermula 28 Februari sehingga kini dengan kawasan yang terkesan ialah Pekan Yong Peng, Ladang Chaah, Jalan Yong Peng-Segamat (berhampiran Kampung Ngamarto), Kampung Haji Kamisan dan kawasan Sungai Temehil.

“Stesen hujan Empangan Sembrong (di Ayer Hitam) pula mencatatkan bacaan kumulatif hujan sebanyak 260mm hujan dalam tempoh 24 jam pada 28 Februari dan 1 Mac lalu. Taburan hujan yang tinggi ini menyebabkan pelepasan air terpaksa dilaksanakan bermula 1 Mac sehingga kini melibatkan mukim Tanjung Sembrong, mukim Sri Gading dan kawasan Sawah Sagil,” katanya.

Sementara itu, Md Nasir berkata, bagi stesen hujan Empangan Machap di Kluang pula mencatatkan bacaan kumulatif hujan sebanyak 395mm pada 28 Februari dan 2 Mac lalu dengan pelepasan air dilaksanakan bermula 1 Mac lalu membabitkan kawasan Kampung Kolam Air dan Kampung Sungai Linau di Simpang Renggam.

Beliau berkata, berikutan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan membabitkan beberapa empangan di Johor, JPS membuat pelepasan empangan mengikut tatacara prosedur operasi standard operasi empangan.

“Limpahan air empangan melalui struktur alur limpah akan berlaku apabila aras takungan empangan melepasi aras tertinggi. Orang awam dimohon untuk sentiasa bersiap siaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir Daerah dan Negeri.

“Buat masa ini sebanyak 15 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec sedang beroperasi di kawasan-kawasan kritikal di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak. 10 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec lengkap dengan genset tersedia untuk dihantar ke Johor sebagai pam tambahan,” katanya.

Menurut Md Nasir, operasi pam bergerak itu tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepat aliran air banjir untuk mengurangkan kedalaman banjir.

Sepanjang Monsun Timur Laut ini, Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara sentiasa bersiap siaga dalam memberi ramalan dan amaran banjir kepada semua pihak berkaitan.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan amaran banjir dan juga status aras air sungai serta hujan di seluruh Malaysia di laman sesawang Public Infobanjir iaitu publicinfobanjir.water.gov.my dan aplikasi MyPublic Infobanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store.

– BERNAMA