Badan amal Qatar sediakan pekerjaan bagi 50,000 penduduk Palestin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Qatar Charity (QC) telah mengupah lebih daripada 50,000 graduan Palestin dan mencipta pekerjaan terpencil melalui inisiatif yang dikenali sebagai ‘Taqat’.

Dikenali sebagai satu bentuk “inisiatif kemanusiaan yang unik” di dunia, ‘Taqat’ bertujuan untuk mengurangkan pengangguran, memperbaiki situasi ekonomi keluarga Palestin dan memperkasakan peranan pemuda kreatif yang memerlukan pekerjaan, lapor Badan Berita Qatar.

Ini adalah sebahagian daripada kempen ‘Bantuan Palestin’ yang dilancarkan oleh QC untuk menyokong keluarga Palestin di Jalur Gaza dan Tebing Barat.

Menurut Biro Statistik Pusat Palestin, kira-kira 40,000 orang warga Palestin telah lulus dari institusi pendidikan tinggi setiap tahun, namun kebanyakannya menganggur kerana peluang pekerjaan yang terhad.

Awal tahun ini, Bank Dunia mengesahkan lebih daripada 66,000 pekerja Palestin kehilangan pekerjaan tahun lalu di tengah wabak koronavirus, yang menyebabkan peningkatan kadar pengangguran yang mencapai 27.8 peratus.

Jumlah pekerja dalam pasaran buruh telah menurun dari 951,000 pada tahun 2019 kepada 884,00 pada tahun 2020.

Sementara itu, di Gaza, sebanyak 50 peratus penduduk mengalami pengangguran dan 60 peratus penduduk hidup di bawah garis kemiskinan.

Serangan Israel di Gaza bulan lalu memusnahkan sebahagian besar infrastruktur negara tersebut termasuk infastruktur kesihatan, pusat pendidikan, jalan raya, bangunan kediaman, serta penjanaan kuasa dan bekalan air.

Badan Pertolongan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan bahawa pencerobohan Israel baru-baru ini telah mengeluarkan lebih dari 75,000 orang Palestin dari kediaman mereka, dengan 28,700 daripadanya terpaksa berlindung di sekolah-sekolah agensi, sama ada disebabkan perobohan rumah mereka, atau melarikan diri dari pengeboman.

Sumber: MEMO