Bagaimana Cara Golongan OKU Percakapan Membaca Bacaan Dalam Solat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rukun dalam solat boleh dibahagikan kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun qauli (pertuturan dan bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan). Rukun qauliah ada lima iaitu:

  1. Takbiratul ihram pada awal solat.
  2. Membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat
  3. Tasyahud
  4. Selawat ke atas Nabi SAW
  5. Salam

Mengikut hukum asal, rukun qauli ini hendaklah dibaca dan didengari oleh orang yang membaca sendiri. Walau bagaimanapun, bagaimana pula hukumnya bagi orang bisu yang tidak mampu membacanya. Adakah mereka perlu menggerakkan bibir sebagai isyarat membaca?

Ketahuilah bahawa Allah tidak menyusahkan seseorang jika terdapat kekangan yang membuatkan dia tidak mampu melakukannya secara sempurna.

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya. (Surah al-Baqarah 2:286)

Malah Rasulullah SAW juga bersabda bahawa:

Maksudnya: Apabila aku perintahkan kalian satu perkara, maka laksanakanlah dengan semampu kalian; apabila aku larang daripada satu perkara, hendaklah kalian menjauhinya. (Sahih Muslim, no.1337)

Berdasarkan dalil di atas, ada dua keadaan yang perlu difahami:

  1. Keadaan Pertama – Orang Yang Bisu Sejak Lahir

Bagi orang yang bisu sejak lahir, mereka tidak diwajibkan menggerakkan bibir ketika membaca rukun qauli dalam solat dan tidak disunatkan juga membaca bacaan-bacaan lain. Hal ini seperti disebutkan oleh Imam Al-Ramli dan Imam Al-Syarwani.

  1. Keadaan Kedua – Orang Yang Bisu Atau Hilang Suara Sedangkan Sebelumnya Dia Mampu Bercakap

Mengikut Imam Nawawi, para ulama dalam Mazhab Syafie menjelaskan bahawa orang yang bisu hanya perlu menggerakkan mulutnya dengan niat membaca dengan kadar ukuran seorang yang boleh berbicara menggerakkan lisannya. Tambah Dr Muhammad Al Zuhaily, mereka perlu menggerakkan bibir dengan kadar yang termampu.

Demikian dua keadaan bagi orang yang tidak mempunyai keupayaan bercakap menunaikan solat dan menyempurnakan rukun qauli. Wallahua’lam.

Sumber: TZKRH.COM