Bagaimana Hendak Mengajar Mualaf Bersolat?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Walaupun seseorang mualaf itu sudah dewasa, kita tidak boleh menganggap mereka perlu mempelajari kesemua ajaran Islam dalam masa yang singkat. Ini termasuklah cara untuk menunaikan solat. Jadi bagaimanakah cara yang paling sesuai bagi mualaf untuk belajar mengenai solat?

Belajar menunaikan solat secara perlahan-lahan

Bagi mualaf, walaupun solat itu perkara yang wajib dan mesti dilakukan setelah memeluk Islam, ia masih memerlukan sedikit masa.Jadi, cara yang sepatutnya dilakukan oleh mualaf untuk belajar solat adalah secara perlahan-lahan atau berperingkat.

Bagi masyarakat Muslim pula, kita tidak boleh mempersoalkan kesempurnaan solat mualaf kerana mereka masih dalam proses pembelajaran. Berikut adalah perkara penting yang boleh diajarkan kepada mualaf berkenaan solat.

#1. Belajar pergerakan solat

Golongan mualaf boleh didedahkan dengan pergerakan dalam solat terlebih dahulu.Tunjukkan mereka dengan cara yang tepat untuk mengangkat takbir, berdiri, rukuk, sujud dan sebagainya.Kita boleh membawa mereka ke masjid sewaktu solat berjemaah agar mereka dapat mengikutinya dengan tepat.Malah, jika kita mengajaknya solat berjemaah di masjid, maka dirinya akan lebih bersemangat untuk belajar mengenai solat.

#2. Perkenalkan dengan bacaan wajib

Tidak semua bacaan dalam solat itu wajib dibaca. Ada yang sunat dibaca dan ada juga yang wajib dibaca.Untuk peringkat permulaan, ajarkan golongan mualaf dengan bacaan wajib terlebih dahulu. Bacaan wajib yang perlu diajarkan ialah lafaz takbir, Surah Al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir dan juga lafaz salam.Hanya empat bacaan sahaja yang wajib dibaca ketika solat.

Bagaimana pula dengan niat? Niat hanya wajib dibaca di dalam hati sahaja dan tidak wajib dilafazkan dengan mulut atau dalam bahasa Arab. Cukup sekadar dia berniat untuk solat kerana Allah Taala.Ramai daripada kita sendiri salah faham berkenaan dengan niat solat. Sesuai dengan namanya iaitu niat, ia cukup sekadar di dalam hati.Solat masih sah jika tidak dilafazkan dengan mulut.

Untuk mengajar mualaf, perkara seperti ini perlu difahami dengan baik kerana kita mahu mengajarkan mereka dengan perkara yang wajib terlebih dahulu.

Fahami mana yang sunat, dan mana yang wajib

Antara punca mengapa mualaf berasa sukar untuk belajar solat pada awalnya adalah mereka berasa sukar untuk mengingati kesemua bacaan. Mereka telah disuruh untuk menghafal doa iftitah dan surah-surah untuk dibaca selepas Surah Al-Fatihah.

Itulah sebabnya kita sendiri perlu memahami bacaan mana yang sunat hukumnya, dan manakah bacaan yang wajib dibaca. Untuk golongan mualaf, hanya perkenalkan bacaan wajib terlebih dahulu sehingga mereka boleh mengingatinya dengan baik.

Kemudian, barulah diajar bacaan-bacaan sunat yang lain seperti doa iftitah, zikir semasa rukuk dan sujud serta bacaan ketika duduk antara dua sujud. Solat masih sah jika bacaan-bacaan ini tidak dibaca kerana ia hanyalah bacaan yang dihukumkan sunat sahaja.

Jangan pertikaikan kesempurnaan solat golongan mualaf

Sebagai seorang Muslim, kita tidak wajar mempertikaikan cara solat golongan mualaf. Mereka masih dalam peringkat pembelajaran dan masih menyesuaikan diri dengan menunaikan solat.

Sebaiknya, kita menyokong dan memberi galakan kepada mereka.Jika kita terus mencemuh dan mempertikaikan solat mereka, dikhuatiri mereka akan semakin kurang bermotivasi untuk menunaikan solat.

Golongan mualaf adalah seperti kanak-kanak, yang perlu dilentur perlahan-lahan dengan penerimaan ajaran agama Islam. Bukan menyusahkan dan membebani mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Rujukan:

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd

Sumber: udakwah.com