Bagaimana Menunaikan Solat Boleh Menggugurkan Dosa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Solat adalah tiang agama dan ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Dengan menunaikan solat, kita telah mengabdikan diri kepadaNya. Solat itu akan lebih dirasai dan terasa nikmatnya apabila dihayati makna bacaan yang disebut. Bahkan, solat yang sempurna boleh membantu menghapuskan dosa.

Ada sebuah hadis yang disebutkan mengenai gugurnya dosa-dosa orang yang menunaikan solat yang bersabda bermaksud:

“Solat lima waktu dari (solat) Jumaat ke solat Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadan ke puasa Ramadan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 233)

Bukan mudah untuk menggapai kesempurnaan solat, namun setiap dari kita perlu meletakkan usaha untuk memperbaiki solat kita ke arah kebaikan kerana solat merupakan tanggungjawab kita sendiri.

Sebab utama perlu memperbaiki solat adalah untuk menjadikan ia sebagai salah satu amalan yang boleh menebus dosa yang dilakukan. Sebagaimana hadis yang dibawakan di awal entri ini, solat merupakan salah satu sebab dosa boleh digugurkan.

Persoalannya, Bagaimana Dengan Solat Boleh Menggugurkan Dosa?

1. Orang Yang Menunaikan Solat Diibaratkan Mandi Setiap Hari

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Apa pendapat kalian sekiranya ada sungai di hadapan pintu rumah dan setiap hari kalian akan mandi lima kali sehari. Adakah kalian merasakan bahawa masih ada kotoran (daki) pada badanmu?

Para sahabat kemudian menjawab: “Tidak akan ada kotoran yang tersisa sedikit pun pada badannya.”

Baginda SAW kemudian menjawab: “Sama sahaja dengan orang yang menunaikan solat lima waktu. Allah akan menghapus semua kesalahannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 528)

Perbuatan mandi tersebut melibatkan banyak perkara untuk memastikan badan betul-betul bersih seperti menggosok gigi, mencuci muka, membasuh badan dengan sabun dan mencuci rambut.

Jika salah satu daripada langkah ini ditinggalkan, maka tidak sempurnalah aktiviti mandi tersebut dan ia akan menyebabkan ada anggota badan yang tidak dibersihkan dengan sepenuhnya.

2.  Perbuatan Memohon Ampun Dalam Setiap Posisi Solat

Jika anda menghayati makna dalam bacaan solat, pasti anda memahami bahawa setiap bacaan tersebut adalah sebuah pengharapan kepada Allah. Bukan sahaja pengharapan agar diberi kesejahteraan untuk kehidupan di dunia, tetapi juga supaya Allah mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan. Sebagai contoh, bacaan ketika duduk antara dua sujud.

Maksud: “Wahai tuhanku, ampunkan dosaku, rahmati aku, bantulah aku, tinggikan darjatku, berikan rezeki kepadaku, berikan petunjuk kepadaku, lindungi aku dan ampunkan aku.” (Kitab Tuhfah al-Muhtaj, 2/77)

Manusia tidak dapat lari dari melakukan dosa dan perbuatan yang melanggar peraturan sama ada dunia mahupun akhirat. Namun, setiap kesilapan itu sentiasa diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat.

Oleh itu, salah satu cara agar dosa yang dilakukan dapat diampun oleh Allah adalah dengan meminta ampunan Allah dengan memperbetulkan solat kita kerana ia boleh membantu menggugurkan dosa-dosa yang kita lakukan itu.

Sumber: TZKRH.COM