Ramai orang mengaku dirinya mencintai Baginda SAW. Ramai juga yang menzahirkan rasa cinta melalui amalan-amalan sunnah yang ditinggalkan.
Kalau kita pada masa sekarang, umat yang tidak pernah menatap mata dan bersua muka dengan Baginda SAW, apa bukti yang kita mampu berikan untuk menunjukkan bahawa kita mencintai Baginda?
Yakinkah cinta yang kita rasa selama ini adalah benar-benar cinta kepadanya?
Kita lihat kepada situasi pasangan yang bercinta. Pasti hari-hari mereka dihiasi dengan senyuman dan gelak tawa. Walaupun ada pergaduhan-pergaduhan kecil yang melanda, namun ia pasti akan diatasi segera bagi mengelakkan kekeruhan sesebuah perhubungan.
Dan kata orang, cinta itu boleh makin bertambah terutamanya buat pasangan yang telah berkahwin kerana setiap hari masing-masing akan belajar perkara baru mengenai diri pasangan dan itulah yang mengukuhkan lagi rasa cinta.
Tetapi, berbalik kepada kisah cinta kita sebagai umat akhir zaman kepada Baginda SAW, adakah anda yakin bahawa cinta yang anda rasa sekarang adalah cinta yang benar atau adakah ia sekadar mengikut trend umat Islam yang mencintai Baginda?
Salah satu perkara yang boleh membuktikan bahawa kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mengikut sunnahnya.
Banyak sunnah yang ditinggalkan Baginda dan perkara-perkara itulah yang boleh memandu kita ke arah kebaikan serta menambah lagi rasa cinta bukan hanya kepada nabi tetapi kepada Allah SWT.
Sebagaimana para sahabat yang sentiasa ada bersama Nabi SAW di kala susah dan senang. Kalau kita lihat kisah Abu Bakar yang sanggup ikut bersama Nabi SAW untuk berhijrah.
Dan banyak lagi kisah yang menunjukkan kehebatan cinta para sahabat kepada Baginda SAW. Sebagaimana ada juga disebutkan oleh mereka, iaitu;
1.Ali bin Abi Talib
Ali bin Abi Talib pernah ditanya: “Bagaimana cintamu kepada Rasulullah SAW?” Beliau kemudian menjawab: “Demi Allah, aku lebih mencintai Baginda daripada harta, anak-anak, ayah dan ibuku serta aku juga lebih mencintai Baginda daripada air dingin pada saat dahaga.”
2.Zaid bin Ad-Datsinah
Abu Sufyan bin Harb (sebelum memeluk Islam) pernah bertanya kepada Zaid; ketika itu berlaku peristiwa beliau telah diusir dari Mekkah untuk dibunuh dan menjadi tawanan kafir Quraisy:
“Katakanlah, demi Allah, wahai Zaid! Apakah kamu suka apabila Muhammad sekarang menggantikan kedudukanmu, lalu kamu memukul leher istrinya sedangkan kamu berada di tengah keluargamu?”
Beliau menjawab: “Demi Allah, aku tidak rela apabila Muhammad sekarang berada di tempatnya saat terkena duri yang menyakitinya sedangkan aku duduk bersama keluargaku.”
Abu Sufyan berkata: “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang mencintai seseorang seperti kecintaan para sahabat Muhammad kepada Muhammad.”
3.Amr bin Al-Ash
Amr berkata: “Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW dan tidak ada yang lebih mulia di mataku dibandingkan Baginda. Aku tidak mampu menatap beliau demi mengagungkannya.
Seandainya aku ditanya mengenai sifat-sifat Baginda, tentu aku tidak sanggup menyebutkannya kerana aku tidak pernah menatap Baginda dengan pandangan yang tajam.”
Bukan ini sahaja kisah yang ada untuk memperlihatkan kepada kita mengenai tingginya cinta para sahabat kepada Nabi SAW, bahkan banyak lagi sehingga ada yang sanggup bergadai nyawa.
Sebagai umat yang sudah berada di akhir zaman, itu tidak menjadikannya sebagai halangan untuk tidak mencintai Nabi SAW.
Bahkan, banyak cara yang boleh dilakukan sama ada dengan meneladani kisah-kisah umat terdahulu dan juga mengamalkan sunnah yang telah ditinggalkan olehnya.
Sumber: TZKRH.COM