Bahana kemaruk menembak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Polis merampas 11 laras senjata tiruan dan 14 kelopak peluru yang digunakan enam lelaki untuk menyertai permainan menembak di sebuah kilang padi terbiar di Kampung Buloh Poh, Ketereh di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam serbuan pada jam 10.30 pagi itu, enam lelaki termasuk dua remaja berusia 14 dan 15 tahun didapati sedang melakukan latihan menembak menggunakan senjata terbabit.

“Pemeriksaan awal mendapati senjata yang digunakan adalah senapang angin yang menggunakan peluru bebola plastik dan gel bagi tujuan permainan serta latihan.

“Semua suspek mengaku membeli senjata tiruan itu secara dalam talian dan digunakan untuk permainan sejak dua bulan lalu yang mana masing-masing akan berhubung antara satu sama lain untuk menetapkan tempat serta masa bagi tujuan itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, kelmarin.

Abdul Rahim berkata, soal siasat juga mendapati mereka membeli senjata yang dipercayai buatan China itu pada harga antara RM200 hingga RM500 bergantung kepada jenis.

Hasil ujian saringan yang dibuat, semua lelaki yang berusia antara 14 hingga 39 tahun negatif dadah dan tiada rekod lampu jenayah.

“Empat lelaki dewasa itu ditahan reman selama dua hari bermula kelmarin manakala dua remaja pula dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang boleh membawa kepada hukuman satu tahun penjara dan denda RM5,000,” katanya.

Abdul Rahim mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membeli dan memiliki senjata tiruan kerana bimbang akan disalahgunakan bagi tujuan jenayah.

Katanya, fizikal senjata tiruan yang seakan asli itu boleh digunakan untuk kegiatan mengugut, samun atau merompak.

“Bagi yang ingin bermain ‘Paintball’ pula, mereka perlu mendapatkan lesen kerana pemilikan senjata walaupun tiruan adalah satu kesalahan serius,” katanya.

ABDUL Rahim (tengah) menunjukkan senjata tiruan dan kelopak peluru yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Rahim (tengah) menunjukkan senjata tiruan dan kelopak peluru yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sumber: My Metro