Bahayakah selalu tidur mengigau? Ketahui punca dan cara mengatasinya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASTI ada antara kita yang pernah melihat pasangan, anak atau ahli keluarga yang mengigau ketika tidur namun keesokan harinya, apabila ditanya mereka langsung tidak sedar akan perkara itu.

Mengigau atau somniloquy dalam bahasa perubatan merupakan sejenis parasomnia atau perilaku abnormal yang sering terjadi ketika seseorang itu sedang tidur.

Dua daripada tiga orang pernah mengigau dalam tidur dan ia kebiasaannya terjadi kepada kanak-kanak.

Secara umumnya, mengigau adalah tidak berbahaya namun dalam sesetengah kes ia membawa petanda seseorang mengalami gangguan tidur atau penyakit lain tanpa disedari.

Menurut pakar tidur, Dr Michelle Drerup, tiada jawapan yang sahih di sebalik tabiat seseorang suka mengigau ketika tidur.

“Kita mungkin beranggapan seseorang itu mengigau kerana ia cuba menceritakan apa yang terjadi dalam mimpinya. Ada beberapa bukti bahawa bercakap dalam tidur mungkin berkaitan mimpi, tetapi sangat kurang,” katanya.

Jelas Dr Michelle, sebahagian besar mimpi terjadi ketika manusia berada dalam fasa tidur dipanggil Rapid Eye Movement (REM).

Mengigau ketika tidur juga dikaitkan dengan parasomnia atau kelakuan abnormal seperti berjalan dalam tidur.

“Sebahagian besar parasomnia dianggap sebagai gabungan di antara terjada dan tidur, bercakap ketika tidur terjadi disebabkan pola tidur terganggu,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Michelle memberitahu, mengigau ketika tidur juga berkaitan dengan tiga perkara, iaitu;

1. Obstructive sleep apnea (gangguan tidur obstruktif)

2. Gangguan perilaku tidur REM

3. Gangguan stres pascatrauma atau PTSD

Jelasnya, tidak ada cara yang benar-benar berkesan dalam mengatasi masalah mengigau ketika tidur. Bagaimanapun, memperbaiki kualiti tidur dapat menjadi penyelesaian terbaik.

Antara langkah lain yang dapat dilakukan bagi mendapatkan tidur yang baik termasuklah;

1. Tetapkan jadual tidur yang teratur

2. Dapatkan tidur di antara enam ke lapan jam setiap hari

3. Hadkan penggunaan telefon sebelum tidur

4. Atasi tekanan yang boleh menyebabkan gangguan tidur

5. Elak pengambilan minuman berkafein enam jam sebelum tidur

6. Bersenam

7. Bilik tidur yang tenang

8. Suhu bilik yang nyaman

Dr Michelle turut memberitahu, sekiranya langkah-langkah tersebut tidak berhasil, pesakit dinasihatkan agar berjumpa doktor bagi mengenal pasti punca-punca lain masalah itu termasuk berkaitan Sleep Apnea atau PTSD.

Sumber: mStar