Bajet 2023 Legakan OKU, Kuota Khas Mystep Perlu Dilihat Semula – Ras Adiba

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2023 sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada komuniti orang kurang upaya (OKU), kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Katanya, Bajet 2023 adalah manifestasi cukup jelas oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merealisasikan keterangkuman sebagai prinsip utama Keluarga Malaysia, sekali gus memberi pengiktirafan yang sebenar kepada golongan OKU.

“Saya menyambut baik pengumuman bajet berjumlah RM1.2 bilion yang disediakan khusus untuk OKU, antaranya melalui bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun OKU (EPOKU) melalui Bajet 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral, memohon agar kerajaan melihat semula sistem kuota bagi program MyStep kerana dalam Bajet 2023, tidak diumumkan kuota khas MyStep bagi belia OKU seperti diumumkan dalam Bajet 2022.

“Ini penting bagi mengatasi soal pengangguran dalam kalangan komuniti OKU. Saya terkilan kerana kerajaan tidak langsung mengumumkan sebarang perancangan dan pelaksanaan mengenai dasar Satu Peratus OKU dalam sektor awam.

“Dasar itu masih gagal dilaksanakan walaupun sudah tiga dekad. Saya mohon kerajaan mengambil tindakan serius mengenai perkara ini,” katanya juga berharap kerajaan merancakkan lagi usaha pemerkasaan dan tumpuan terhadap kesejahteraan sosial komuniti OKU di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memperintiskan Pusat Panggilan Mesra OKU dengan menggunakan mod panggilan video bersama khidmat jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat.

Katanya usaha itu selari dengan komitmen Malaysia dalam Deklarasi Bucharest berhubung pembinaan masa depan digital yang lebih baik untuk semua dan berharap kesungguhan kerajaan merancakkan pertumbuhan digital tidak akan meminggirkan komuniti OKU.

Beliau juga berterima kasih kerana kerajaan tidak melupakan pemerkasaan pendidikan anak-anak OKU dengan menyediakan insentif khas penubuhan 50 Taska OKU baharu berbanding 13 sedia ada serta penyediaan RM20 juta untuk menambah baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas.

“Saya juga berterima kasih dan menyokong penuh kerana kerajaan mendengar cadangan dan rintihan komuniti penyakit jarang jumpa Malaysia dengan memperuntukkan RM25 juta dan usaha menjadikan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah pusat rujukan penyakit ini,” katanya.

Beliau juga mengajak orang ramai dan syarikat korporat terus memberikan sumbangan melalui akaun Amanah bagi rawatan penyakit jarang jumpa yang ditubuhkan kerajaan melalui Bajet 2023.

Sumber : BERITA HARIAN