BESUT – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila rumahnya tiba-tiba terbakar ketika sedang mandi bersama anak keduanya di luar rumah, tengah hari semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Shafie Yusof, 55, dari Kampung Gerong, dekat Apal, di sini, baru pulang selepas mengambil anaknya, Nur Aulia Sofia yang berusia lima tahun dari prasekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Shafie berkata, isterinya, Rohana Che Nordin, 44, yang bertugas sebagai guru serta anak sulung mereka, Nur Adrina Shafina yang berusia lapan tahun masih di sekolah ketika kejadian.
“Pada awalnya saya tidak sedar rumah terbakar kerana tiada bau hangit atau bunyi bising dari dalam rumah kerana ketika itu sedang mandi di hadapan rumah.
“Namun ketika mahu masuk ke dalam rumah untuk mengambil baju, saya perasan ada api serta asap tebal dari arah tengah rumah.
“Nasib baik anak segera berlari menghala rumah jiran…jika dia berlari masuk ke dalam rumah, mungkin akan terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu Rohana berkata, segala persiapan raya termasuk baju raya anak yang dibeli beberapa hari lalu turut hangus dalam kebakaran.
“Sejumlah wang tunai RM 20,000 dikeluarkan dari bank kebetulan disimpan dalam bilik untuk tujuan membaiki rumah juga tidak dapat diselamatkan kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
“Suami hanya sempat mengalihkan sebuah kereta serta dua motosikal ke tempat selamat.
“Segala dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank, pakaian, peralatan rumah juga hangus,” katanya yang menumpang rumah keluarga terdekat buat sementara waktu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa mengesahkan kejadian itu.
– BERITA HARIAN