Bakat terpendam pesakit saraf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Puteh: “Saya cuba mencari kelebihan dalam diri kerana tidak mahu meratapi nasib diuji dengan penyakit saraf dan Alhamdulillah, melukis animasi membuatkan saya berasa tenang,” kata Ahmad Sulaiman Hamid.

Ahmad Sulaiman, 27, yang diserang penyakit saraf sejak berusia 13 tahun tidak mampu berdiri atau berjalan dengan baik selain pergerakan terhad, namun memiliki anugerah melukis animasi dengan sempurna.

Berbekalkan pen dan kertas, dia melakar setiap wajah animasi kegemarannya berpandukan imej di dalam telefon bimbit, selain mengakui aktiviti itu memberikan ketenangan sehingga dapat melupakan ujian ditanggungnya selama ini.

Bagaimanapun, tiada siapa menyedari bakat berkenaan kecuali keluarga terdekat kerana perasaan rendah diri amat mendalam dalam dirinya selain menganggap hasil lukisan itu ‘biasa-biasa’ sahaja.

Katanya, baru-baru ini, dia dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) yang sering bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kewangan.

“Mereka yang melihat hasil tangan saya meluahkan rasa kagum dan memuji bakat saya, malah turut memberi idea agar ia diketengahkan.

“Dari situ, saya mula sedar dan teruja untuk mempamerkan hasil lukisan ini kepada orang ramai melalui Facebook. Sebelum ini, hanya kakak, Salina Hamid, 45 yang mendorong minat ini dengan membelikan saya kelengkapan melukis.

“Memandangkan keadaan diri tidak mengizinkan saya melukis dalam masa lama, biasanya sesebuah lukisan disiapkan dalam beberapa hari,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar di rumahnya di Kampung Telaga Gayong, di sini, semalam.

AHMAD Sulaiman Hamid, 27, bersama ibunya, Sakina Mat Noor, 64, menunjukkan lukisan animasi hasil tanganya, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
AHMAD Sulaiman Hamid, 27, bersama ibunya, Sakina Mat Noor, 64, menunjukkan lukisan animasi hasil tanganya, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa

Pihak YRS sebelum ini bekerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) membantu Ahmad Sulaiman dan tiga lagi adik-beradiknya yang turut menghidap penyakit saraf.

Malah, difahamkan YRS turut menyokong minat Ahmad Sulaiman dan berbesar hati untuk menyediakan peralatan melukis lengkap agar bakat pemuda istimewa itu dapat diasah dan diketengahkan memandangkan ia adalah hasil menakjubkan daripada individu kurang upaya.

Ahmad Sulaiman mengakui berminat melukis sejak dari bangku sekolah lagi dan kemahiran itu datang dengan sendiri tanpa sebarang tunjuk ajar daripada pakar.

Menurutnya, dia menonton YouTube untuk melihat cara melukis yang biasanya dimulai dengan asas membuat garisan dan sebagainya.

“Namun, saya melakukan sebaliknya apabila terus melakar bentuk atau wajah animasi dan tidak menyangka ia menjadi.

“Malah, ada yang melihat hasil lukisan ini menyangka saya menggunakan kertas tekap, padahal ia dilukis sendiri menggunakan tangan tidak begitu sempurna susulan penyakit dihidapi.

“Saya menganggap kemahiran ini sebagai anugerah di sebalik ujian diberi Allah dan berharap dapat mengembangkan lagi bakat supaya lukisan ini diterima masyarakat,” katanya.

Sumber: My Metro