Jerantut: “Saya tidak pernah menduga sama sekali berita mengenai inovasi katil pesakit yang disiarkan akhbar Harian Metro dua tahun lalu, kini menjadi bahan bacaan dalam buku teks bahasa Melayu tahun lima,” kata usahawan Zamilah Hamzah.
Zamilah, 41, yang mengusahakan bengkel besi bersama suami, Mohd Amiruddin Fauzi, 44, berkata, Jumaat lalu, rakannya menghantar pesanan WhatsApp menunjukkan berita berkaitan inovasi bertajuk ‘Katil Mesra Pengguna’ disiarkan dalam buku teks berkenaan.
Menurutnya, wakil Harian Metro Pahang bertemu dengannya dan suami dua tahun lalu sebelum berita berkenaan disiarkan dalam akhbar dan portal Harian Metro seterusnya mendapat 50,000 tanda suka.
Katanya, difahamkan buku itu mula dikeluarkan tahun ini, namun lewat diterima murid tahun lima berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga menyebabkan kerajaan memutuskan sesi persekolahan sekolah rendah dilakukan secara dalam talian.
“Sebagai usahawan, saya dan suami begitu berbangga apabila perniagaan menghasilkan katil untuk pesakit kini menjadi bahan bacaan untuk murid sekolah rendah seluruh negara, bukan sahaja berita, malah gambar kami turut disiarkan.
“Berita di muka surat 136 itu memaparkan temu bual suami dengan wartawan dan murid perlu membina ayat seruan berdasarkan kata dan gambar dipaparkan,” katanya yang lebih tujuh tahun menghasilkan katil pesakit.
Beliau yang mengusahakan bengkel di Felda Jengka 12, di sini berkata, sebelum ini penggubal buku teks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada menghubunginya menyatakan minat untuk menjadikan berita inovasi katil pesakit dihasilkan sebagai bahan bacaan dalam buku teks bahasa Melayu tahun lima.
Bagaimanapun, katanya, dia dan suami tidak begitu yakin sehinggalah melihat sendiri buku teks berkenaan, kelmarin.
Sementara itu, Panel Penulis Buku Teks Bahasa Melayu Sekolah Rendah DBP dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Ibrahim Talib berkata, dia tertarik memilih berita katil pesakit dihasilkan bengkel diusahakan Zamilah dan suaminya kerana tertarik dengan kesungguhan serta kemampuan mereka.
“Kebolehan dimiliki pasangan berkenaan menghasilkan inovasi itu harus dibanggakan seterusnya menjadi contoh kepada golongan muda untuk mengikut jejak langkahnya.
“Saya berharap murid yang membaca berita berkenaan dapat mencetuskan idea inovasi seterusnya berfikiran lebih jauh ke hadapan,” katanya yang kini sedang menghasilkan skrip drama radio, novel kanak-kanak dan cerpen.
Sumber: My Metro