Bangladesh ingin bina banyak masjid

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
UMAT Islam mengamalkan penjarakan sosial semasa menunaikan solat fardu di Masjid Negara Baitul Mukarram di Dhaka. – AFP

Kerajaan Bangladesh berhasrat menjadi negara paling banyak membina masjid di dunia apabila 170 masjid baharu akan dirasmikan pada tahun ini.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada projek mega sempena meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 Presiden pertama Bangladesh, Syeikh Mujibur Rahman yang juga digelar sebagai bapa pembangunan negara.    

Secara keseluruhannya, sebanyak 560 masjid akan dibina di seluruh negara di bawah projek pembinaan bernilai AS$1 Bilion (RM4.05 bilion).

“Ini merupakan projek pembinaan masjid terbesar yang pernah dikendalikan oleh mana-mana negara di dunia.

“Projek ini dimulakan bagi menyambut ulang tahun kelahiran Sheikh Mujibur yang ke-100, serentak dengan 50 tahun kemerdekaan.

“Sejumlah 560 masjid akan dibina di seluruh negara di bawah inisiatif ini,” kata Timbalan Pengarah Projek Model Masjid (MMP), Shafiqur Rahman Talukder kepada Arab News.  

Berdasarkan data dari agensi kerajaan, Yayasan Islam Bangladesh (BIF), terdapat lebih 300,000 masjid di negara itu.

Jelas Shafiqur, dibawah MMP, sebanyak 50 masjid akan dirasmikan pada April depan, diikuti 60 lagi pada September dan bakinya pada Disember tahun ini.

Setiap daerah, mukim dan kawasan majlis perbandaran akan mempunyai sebuah masjid dilengkapi dengan ruang solat yang cukup besar bagi menampung 900 hingga 1,200 jemaah, selain pusat penyelidikan Islam dan sistem pendidikan untuk kanak-kanak pra-sekolah rendah.    

Selepas siap dibina, kesemua perpustakaan di 560 masjid akan menampung kira-kira 34,000 orang, sementara pendidikan percuma juga diberikan kepada 168,000 kanak-kanak berusia dalam lingkungan empat hingga enam tahun.

“Sebuah kurikulum yang diluluskan sudah ada dan ketika ini kami sedang melaksanakan program tersebut di 70,000 masjid di seluruh negara bagi mengajar hampir 2.3 juta kanak-kanak,” katanya.

Menurut beliau, tenaga pengajar dari BIF akan mengajar kira-kira 33 kanak-kanak di setiap masjid.

Tambahnya, masjid tersebut juga akan merangkumi kemudahan tempat tinggal bagi pelancong tempatan dan asing serta program pendaftaran dan latihan bagi jemaah haji. 

Dalam pada itu, Shafiqur berkata, objektif utama projek itu adalah untuk menyebarkan nilai dan semangat Islam yang sebenar. 

“Jadi, menerusi khutbah, para imam dapat mengajar orang ramai mengenai nilai-nilai Islam dan ancaman keganasan dan kegiatan ekstremis lain dalam masyarakat,” katanya.