Bangunan Kemudahan Awam Baharu Buat JKK Kampung Pantai Sepat.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda (tengah) menyaksikan Majlis Penyerahan Kunci Kemudahan Awam Kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kampung Pantai Sepat antara Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang diwakili Setiausaha MBK, YH. Dato’ Hajah Hamiza Hamzah (kanan) kepada Pengerusi JKK Kampung Pantai Sepat, Encik Adnan Bakar di Pantai Sepat, Kuantan hari ini.

KUANTAN, 07 MAC 2021 : Kerajaan Negeri menyerahkan bangunan kemudahan awam baharu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pantai Sepat hari ini melalui Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata pembinaan tandas awam yang dilengkapi dengan dua buah tandas, surau dan tiga unit bilik persalinan ini diharap dapat membantu membangunkan kawasan rekreasi Pantai Sepat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda bersama tetamu kehormat bergambar di mercu Pantai Sepat, Kuantan selepas Majlis Penyerahan Kunci Kemudahan Awam Kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kampung Pantai Sepat, Kuantan hari ini.

“Kemudahan awam yang disediakan ini iaitu tandas awam yang baharu diharap dapat memberi kemudahan kepada para pengunjung yang datang di sini.

“Ia juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pengunjung dan membantu meningkatkan hasil ekonomi penduduk sekitar.

“Saya berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kerana bersetuju menyerahkan kemudahan awam ini kepada JKK sendiri untuk JKK laksanakan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Kunci Kemudahan Awam Kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kampung Pantai Sepat, Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Kemudahan Awam Kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kampung Pantai Sepat di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hajah Hamiza Hamzah; Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif; Ketua UMNO Bahagian Kuantan, YH. Dato’ Sri Ab. Hamid Mohd Nazahar; dan Pengerusi JKK Kampung Pantai Sepat, Encik Adnan Bakar.

Beliau juga turut meminta orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan kawasan rekreasi dan kemudahan awam yang dibangunkan di negeri ini bagi keselesaan bersama.

“Dan saya menyeru mereka yang datang ke Pantai Sepat ini supaya selepas berkelah sampah-sampah itu dibungkus, kita bersihkan dan bungkus, dan kalau boleh bawa baliklah, buang dekat kawasan rumah kita.

“Dan jangan dibiarkan di kawasan-kawasan sekitar atau dibuang di pangkal-pangkal pokok di mana mungkin angin bertiup dan menyebabkan sampah-sampah ini akan bertaburan atau mungkin haiwan peliharaan seperti lembu yang makan sisa-sisa ini menyebabkan bersepah dan mengotorkan pantai,” katanya.

Menurut beliau, tandas awam ini merupakan projek kedua yang diserahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“Ini merupakan majlis yang kedua selepas dulu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyerahkan kepada Pengurusan Pasir Puteri di Sungai Lembing kepada JKK Kuala Kenau. Peruntukan di sini daripada KPKT.

“Kedua-dua projek ini merupakan peruntukan daripada pihak KPKT, dan bagi projek di Pantai Sepat ini dianggarkan bernilai hampir RM500,000 dan telah siap dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA