Jerantut: Hutan Simpan Tekam, di sini akan dijadikan santuari gajah atau penempatan baharu buat hidupan itu bagi menangani masalah pencerobohan dan konflik haiwan dengan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, mengikut perancangan, sejumlah RM38 juta bakal diperuntukkan untuk projek terbabit yang termasuk pemasangan pagar elektrik di koridor rayau haiwan berkenaan.
Katanya, kerajaan merancang menyekat pencerobohan gajah liar dari sekitar Hutan Simpan Tekam dan Hutan Simpan Tekai ke kawasan ladang Felda, penempatan Felda dan perkampungan penduduk berdekatan.
“Satu koridor rayau gajah telah dikenal pasti untuk dibina pagar elektrik yang berhampiran tiga kampung di Kuala Sat, Ulu Tembeling,” katanya yang ditemui selepas menyaksikan kerja menangkap dan memindahkan empat gajah liar betina oleh 18 kakitangan Unit Tangkapan Gajah (UTG) dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, semalam.
Nazri yang juga Pengerusi Gajah Liar Pahang berharap, pembinaan pagar elektrik dapat disegerakan demi keselamatan penduduk dan mengelak mereka terus mengalami kerugian akibat pencerobohan gajah.
Katanya, sebelum ini semua gajah di Pahang yang ditangkap akan dihantar ke Taman Pemuliharaan Gajah Tasik Kenyir, Terengganu.
Terdahulu, dalam operasi itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut berjaya mengawal pergerakan kawanan 12 gajah liar daripada menceroboh kawasan ladang sawit di Felda Gelanggi Satu dan Tiga serta memusnahkan tanaman penduduk.
Sumber: My Metro