Kuantan: Kerugian lebih RM5.6 juta dialami 251 penternak ikan air tawar di Pahang akibat bencana banjir akhir tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila penilaian keseluruhan kemusnahan sangkar dan kolam dibuat tidak lama lagi.
Menurutnya, penternak akuakultur di negeri ini banyak terdapat di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan. Banjir menyebabkan sangkar hanyut dan hilang, stor rosak serta kematian ikan termasuk ikan terlepas ke sungai Pahang.
Katanya, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar dari tasik berkenaan.
“Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti.
“Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.
“Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).
“Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri ini seramai kira-kira 1,700 orang manakala nelayan darat seramai 380 orang.
“Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang merupakan yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur serta kira-kira 787 tan bernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai,” katanya.
Sumber: My Metro