KUALA LUMPUR – Seramai 431 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) terkandas dalam banjir di tiga negeri sekaligus tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpul maklumat terperinci mengenai calon terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua calon terjejas.
“Berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.
“Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan,” katanya pada Khamis.
KPM turut menasihatkan agar semua calon peperiksaan SPM 2022 untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.
Tambahnya, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran.
“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.
“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung.
KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujarnya.
– AWANI